Tindakan Tengku Zafrul boleh timbulkan ketegangan - UMNO Selangor

SHAH ALAM - Tindakan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk menyertai parti lain secara tiba-tiba, terutama ketika masih memegang jawatan atas tiket UMNO, boleh mencemarkan semangat setia kawan dalam Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim berkata, tindakan itu juga boleh menimbulkan ketegangan serta mewujudkan prasangka dalam kalangan penyokong akar umbi.

Menurutnya, UMNO Selangor tidak akan berkompromi dalam soal kesetiaan dan keikhlasan terhadap perjuangan parti.

“UMNO Selangor menghormati keputusan Tengku Zafrul untuk keluar parti tetapi tindakan ini bukan sesuatu yang mengejutkan. Kami telah menjangkakan keputusan ini berdasarkan perkembangan dalaman mutakhir.

“Kami ingin tegaskan bahawa perjuangan UMNO bukan bersandarkan kepada satu individu.

“Parti ini telah melalui pelbagai fasa cabaran dan pengkhianatan, namun tetap utuh kerana kekuatannya terletak pada akar umbi dan prinsip yang tidak boleh dijual beli,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini dilaporkan, Tengku Zafrul telah menghantar surat peletakan jawatan dalam UMNO untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau juga mengesahkan surat peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO sudah diserahkan kepada pucuk pimpinan parti.

Selain itu, Tengku Zafrul turut mengesahkan telah menyatakan hasrat untuk menyertai PKR kepada Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung, Dr Fuziah Salleh.

Mengulas lanjut, Abdul Mutalif meminta semua parti komponen Kerajaan Perpaduan agar lebih beretika dan bertanggungjawab dalam menjaga keharmonian politik bersama serta tidak mengamalkan budaya ‘memancing ahli’ sesama rakan gabungan.

“UMNO Selangor akan terus memperkukuh saf kepimpinan termasuk di UMNO Bahagian Kota Raja serta kekal fokus terhadap misi memperjuangkan nasib rakyat.

“Kita tidak akan leka dengan drama individu, tetapi akan terus mara dengan semangat baharu demi agama, bangsa dan tanah air,” ujarnya.