JOHOR BAHRU – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendesak agar UMNO mengambil tindakan tegas terhadap Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang mengumumkan peletakan jawatan daripada semua jawatan dalam UMNO serta menyatakan hasrat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Menurut Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu, UMNO perlu menyemak semula akujanji yang ditandatangani oleh Tengku Zafrul semasa menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), termasuk kemungkinan menuntut pampasan sebanyak RM100 juta sekiranya tindakan tersebut dikira sebagai lompat parti.
“Saya akan mendesak UMNO semak balik akujanji semasa Zafrul menjadi calon BN di PRU ke-15. Apakah Zafrul boleh dituntut membayar ganti rugi sebanyak RM100 juta kerana lompat parti?” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit turut menegaskan bahawa isu penyertaan Tengku Zafrul ke dalam PKR akan dibangkitkan dalam mesyuarat MKT akan datang, sambil menggesa UMNO mengambil pendirian lebih keras terhadap tindakan tersebut.
“Saya pasti akan membangkitkan isu Tengku Zafrul mahu menyertai PKR dalam mesyuarat MKT akan datang,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau juga menegaskan bahawa UMNO tidak boleh hanya menyatakan kekesalan jika PKR menerima Zafrul, sebaliknya mesti menegur Presiden PKR secara terbuka.
“UMNO juga mesti menegur Presiden PKR jika permohonan Zafrul diterima. Tidak memadai dengan kenyataan UMNO rasa kesal.
"Mesti ada perbincangan awal secara sulit yang jadi punca Zafrul sertai PKR. Bertepuk tangan sebelah tidak akan berbunyi,” katanya lagi.
Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan PKR menerima bekas pemimpin UMNO tanpa rundingan boleh mencetuskan krisis kepercayaan dalam kalangan akar umbi parti terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan.
“PKR mesti diberi amaran. Jika dibiar, tikam belakang akan berlaku lagi. Jangan salahkan UMNO jika ahli-ahli UMNO hilang kepercayaan terhadap PMX. Kerjasama Kerajaan Perpaduan akan rosak binasa,” katanya.
Menerusi kenyataan dikeluarkan pada malam Jumaat, Tengku Zafrul, yang merupakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, berkata beliau meletakkan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO, sekali gus menamatkan penyertaannya dalam parti itu sejak tahun 1997.
Pada Disember tahun lalu, Tengku Zafrul mengakui bahawa terdapat perbincangan awal bersama PKR, namun masih tiada sebarang keputusan yang dibuat berhubung penyertaannya ke parti tersebut.