SHAH ALAM – Tiada keperluan untuk bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli keluar meninggalkan parti meskipun mengalami kekalahan dalam pemilihan baru-baru ini.
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berpandangan bahawa Rafizi mempunyai daya ketahanan diri yang tinggi serta masih mampu menyumbang idea dan tenaga walaupun tidak memegang sebarang jawatan penting.
Menurut bekas menteri itu, situasi yang dialami Rafizi kini sedikit berbeza dengan pengalamannya kerana menteri ekonomi tersebut tewas mempertahankan jawatan dalam PKR manakala beliau sendiri dipecat daripada UMNO selepas bertanding merebut jawatan Presiden.
“Saya dipecat daripada UMNO manakala Rafizi tewas dalam pemilihan PKR. Dahulu, saya juga pernah bertanding untuk jawatan Presiden tetapi tewas kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 2018. Ketika itu, saya tetap kekal dalam UMNO.
“Apabila saya dipecat, saya tidak ada pilihan kerana keputusan telah dibuat untuk melucutkan keahlian saya. Saya tidak mempunyai masalah dengan parti, hanya menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden. Hubungan dengan Ahmad Zahid juga baik.
“Jadi, kepada Rafizi, teruskan perjuangan! Saya tidak nampak sebarang sebab atau keperluan untuk beliau keluar daripada PKR atau menubuhkan parti baharu kerana saya tahu betapa komitednya Rafizi dengan perjuangan PKR sejak awal penubuhannya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika mengadakan kunjungan ke Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Selasa.
Turut hadir, Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub; Ketua Pegawai Eksekutif Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin; dan Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin.
Dalam Pemilihan PKR Pusat 2025, Rafizi tewas kepada Nurul Izzah Anwar yang memperoleh 9,803 undi, manakala beliau meraih 3,866 undi.
Untuk rekod, Ahli Parlimen Pandan itu pernah tewas dalam saingan jawatan Timbalan Presiden PKR pada 2018 kepada bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Namun, beliau bangkit semula dengan kemenangan pada pemilihan 2022 apabila menewaskan bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Khairy turut berpendapat bahawa Rafizi tidak sepatutnya melepaskan jawatan sebagai Menteri Ekonomi kerana beliau dilihat mampu menggalas tanggungjawab menerajui kementerian tersebut dengan baik.
“Beliau menyatakan atas dasar prinsip bahawa seseorang yang memegang jawatan kanan dalam parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan harus melepaskan jawatan sekiranya tidak lagi mempunyai kedudukan dalam parti.
“Tetapi, pada saya, ia tidak semestinya begitu kerana ramai yang dilantik ke jawatan menteri berdasarkan kebolehan mereka, walaupun tidak mempunyai pengaruh dalam parti.
“Lantikan ke dalam Jemaah Menteri dibuat bukan sahaja atas kapasiti jawatan dalam parti, tetapi juga atas kredibiliti dan keupayaan individu tersebut,” ujarnya.