PRN Sabah: Teck Lee gesa fokus isu rakyat, bukan kerusi

KOTA KINABALU - Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee melahirkan rasa kurang senang terhadap perebutan kerusi dalam kalangan parti politik, khususnya parti dari Semenanjung yang dilihat seolah-olah menganggap kerusi pilihan raya sebagai milik mutlak mereka.

Beliau mengingatkan bahawa dalam sistem demokrasi, semua kerusi adalah milik rakyat dan bukannya hak eksklusif mana-mana parti politik.

“Rakyat ingin tahu apa isu yang diperjuangkan oleh parti politik. Apa yang boleh diharapkan rakyat sekiranya parti atau pemimpin tersebut memenangi pilihan raya?

“Setakat ini, orang ramai termasuk saya sendiri masih tidak jelas apa sebenarnya yang diperjuangkan oleh sesetengah parti dan pemimpin. Yang sering kedengaran hanyalah soal kerusi, kerusi, dan lebih banyak kerusi,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan beberapa parti yang mula menyatakan bilangan kerusi yang diidamkan untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, keadaan ini jauh berbeza berbanding era pra-2008, ketika kuasa politik di peringkat Persekutuan masih dominan dan berpusat di Semenanjung.

“Landskap politik Malaysia baharu hari ini telah memberi ruang kepada Sabah dan Sarawak untuk menuntut lebih banyak autonomi,” katanya.

Dalam pada itu, Teck Lee turut menyentuh perjuangan SAPP termasuk isu kad pengenalan Sabah serta tuntutan supaya wilayah Labuan dikembalikan kepada negeri ini.

Beliau juga mempersoalkan sikap mendiamkan diri Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Pihak mana yang benar-benar berani memperjuangkan hak hasil bersih 40 peratus untuk Sabah yang dianggarkan berjumlah RM2.6 bilion setahun, bukannya RM600 juta?

“Adakah mana-mana parti dalam PH dan BN menuntut agar 35 peratus kerusi Parlimen dikembalikan kepada Sabah dan Sarawak?” soalnya lagi.

Baru-baru ini, Parti Keadilan Rakyat (PKR) melalui Timbalan Presidennya, Nurul Izzah Anwar mengemukakan permintaan untuk bertanding di 13 kerusi pada PRN Sabah akan datang, manakala DAP Sabah dilaporkan turut mengintai sebanyak 10 kerusi.