Konsensus Nasional Baharu peluang perkasa komuniti India – MIPP

SHAH ALAM – Cadangan mewujudkan Konsensus Nasional Baharu mampu memperkasakan semula komuniti India sekali gus membawa pembaharuan menyeluruh dalam landskap politik negara.

Presiden Parti Makkal Indian People (MIPP), Punithan Paramsiven berkata, gagasan tersebut yang diumumkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin minggu lalu membawa mesej perpaduan, keadilan sosial dan tadbir urus berteraskan nilai kemanusiaan.

“Pemimpin sejati ialah mereka yang berani mengakui kelemahan dan bersedia melakukan perubahan.

"Cadangan Konsensus Nasional Baharu ini berpaksikan tiga teras utama iaitu Matlamat Bersama, Kemakmuran Bersama dan Tadbir Urus Berperikemanusiaan.

“Pendekatan ini menolak politik dendam, membina semula semangat kenegaraan dan menyatukan rakyat merentas kaum serta budaya,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Punithan yang turut menghadiri program itu bersama parti komponen PN berkata, mesej utama yang diketengahkan Hamzah ialah kepimpinan harus kembali kepada prinsip asal berkhidmat demi rakyat, bukan mengejar populariti semata-mata.

Beliau turut mengkritik tindakan segelintir pemimpin kerajaan yang hanya pandai melaungkan slogan seperti ‘anak India, anak kita, anak Cina, anak kita’, namun gagal menterjemahkannya dalam dasar dan pelaksanaan.

Jelas Punithan, masyarakat India di Malaysia masih bergelut dengan pelbagai isu seperti akses pendidikan teknikal dan tinggi, kadar pengangguran, kemiskinan bandar, masalah kesihatan serta kekurangan penyertaan dalam proses dasar negara.

“Kami tahu hak kami yang termaktub dalam Perlembagaan. Namun, apa yang lebih penting ialah pelaksanaan berasaskan integriti, kebajikan dan keterangkuman yang membawa maksud sebenar keadilan sosial.

“Kini masanya untuk mengangkat pendekatan yang lebih menyeluruh dan berstruktur melalui Konsensus Nasional Baharu,” ujarnya.

Katanya lagi, MIPP akan menerajui usaha merangka strategi jangka panjang bagi memperkasakan komuniti India melalui empat tunjang utama dikenali sebagai 4E iaitu Pendidikan (Education), Pekerjaan (Employment), Ekonomi (Economic) dan Pemerkasaan (Empowerment).

Beliau berkata, pendekatan 4E bukan sekadar penyelesaian teknikal, malah merupakan penjenamaan semula terhadap erti sebenar pemerkasaan masyarakat India.

“MIPP sedang aktif menjalankan inisiatif akar umbi seperti Reset 2027 untuk mengenal pasti keperluan dan aspirasi rakyat secara langsung.

“Kami juga menyokong program berimpak tinggi seperti Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) agar benar-benar berfungsi sebagai alat pemerkasaan, bukan sekadar simbolik,” katanya.

Punithan turut menyeru seluruh komuniti India agar bersatu dan menyambut gagasan baharu ini sebagai titik perubahan masa depan mereka.