KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Ura-ura mengenai peletakan jawatan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli terus menjadi bualan ramai, walaupun tiada sebarang pengesahan diberikan oleh mana-mana pihak sehingga kini.
Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil menjelaskan, beliau sendiri tidak menerima sebarang maklumat terperici mengenai peletakan jawatan yang digembar-gemburkan itu.
“Secara jujur saya tiada sebarang maklumat mengenai peletakan jawatan Rafizi.
“Buat masa ini lebih baik kita semua tunggu dan lihat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas majlis penutup Projek Sigma di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Fahmi menjelaskan, tiada sebarang pengesahan rasmi diberikan oleh pemimpin PKR mengenai perkara itu sehingga kini.
Jelasnya lagi, sebarang maklumat berkaitan peletakan jawatan itu sudah tentu akan dimaklumkan kepada umum.
Pada 10 Mei lalu, Rafizi dilapor berkata beliau akan meletakkan jawatan sebagai menteri Kabinet dan menjadi Ahli Parlimen biasa sekiranya gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR.
Dalam pemilihan minggu lalu, Nurul Izzah menang jawatan itu dengan majoriti besar, sedangkan Rafizi hanya memperoleh 28 peratus undi.
Susulan itu, Rafizi kemudian menegaskan dia tetap bersemangat dan bertekad untuk meneruskan perjuangannya demi malaysia yang lebih baik.
Perdana Menteri merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyatakan bahawa satu mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) akan diadakan dalam masa terdekat selepas pemilihan parti baru-baru ini.
Namun, Fahmi memaklumkan beliau sendiri belum menerima sebarang tarikh rasmi bagi mesyuarat tersebut.
“Setakat ini saya belum menerima sebarang tarikh mesyuarat MPP.
“Saya akan Semak tetapi setakat ini masih belum ada perkembangan lagi kerana saya percaya secara lazimnya selepas pemilihan akan ada satu mesyuarat untuk mengesahkan pelantikan baharu dan juga jawatan yang perlu diisi kelak,” katanya.
Mesyuarat MPP yang akan datang dijangka menjadi medan penting bagi merungkai persoalan mengenai kedudukan beberapa pemimpin utama parti serta hala tuju PKR pascapemilihan. - Awani