KUALA LUMPUR – Kedudukan Datuk Seri Rafizi Ramli dalam Kabinet sebagai Menteri Ekonomi masih menjadi tanda tanya susulan kegagalannya mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti baru-baru ini.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang maklumat berhubung perkara tersebut.
“Saya belum ada maklumat lanjut setakat ini, jadi kita perlu tunggu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Google’s Project Sigma: Engaging Malaysian Gen Z for News, di sini, pada Selasa.
Dua minggu lalu, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan menyatakan kesediaannya untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Ekonomi sekiranya tewas dalam pemilihan PKR pada Jumaat lepas.
“Kalau saya kalah, saya letak jawatan dan jadi ahli Parlimen biasa,” ujarnya.
Dalam pemilihan tersebut, Rafizi meraih 3,866 undi manakala pencabarnya, Nurul Izzah Anwar memperoleh 9,803 undi.
Terdahulu, kehadiran Rafizi dalam Sidang Kemuncak Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur – Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Filipina (BIMP–EAGA) ke-16 menarik perhatian petugas media.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata, PKR masih belum menetapkan sebarang tarikh bagi mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
Mesyuarat itu dijangka akan diadakan bagi mengesahkan pelantikan dan pengisian jawatan baharu susulan Kongres Nasional PKR 2025.