'Bubar pun belum... sabar' - Hajiji mahu kerjasama GRS-PH dipertahankan

KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa kerjasama antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaan negeri perlu dipertahankan ketika ini.

Bagaimanapun katanya, belum ada sebarang keputusan dibuat mengenai bentuk kerjasama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) masih belum dibubarkan.

"Belum lagi, kita mahu kerjasama kita pertahankan sekarang GRS-PH. Itu asas kita dan kita telah sampaikan kepada Perdana Menteri, jadi yang lain-lain kita akan berbincang," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Jeti dan Perasmian Feri Penumpang Kota Kinabalu–Labuan di Pelabuhan Kota Kinabalu, pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desakan pelbagai pihak berhubung jalinan kerjasama yang akan diputuskan GRS bagi menghadapi PRN Ke-17 yang bakal menjelang.

Ditanya mengenai tarikh perbincangan, Hajiji menjelaskan perkara itu juga belum diputuskan kerana tempoh pilihan raya masih belum tiba.

"Belum lagi pilihan raya, bubar pun belum. Jadi sabar, kamu tunggu, nanti kami beritahu," katanya sambil berseloroh.

Sementara itu, Hajiji berkata pengoperasian semula perkhidmatan feri penumpang antara Kota Kinabalu dan Labuan bukan sahaja langkah logistik, malah mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat di kedua-dua kawasan.

"Perkhidmatan ini amat penting kepada rakyat. Ia bukan sekadar laluan perhubungan, tetapi penghubung kekeluargaan, pendidikan, pelancongan dan perniagaan yang telah terjalin sejak sekian lama," katanya.

Sebelum ini, perkhidmatan feri tersebut terhenti selama beberapa tahun, menyebabkan jaringan pengangkutan antara Sabah dan Labuan hanya bergantung kepada laluan udara atau feri dari Menumbok.

"Gangguan sebelum ini berpunca daripada beberapa faktor seperti struktur jeti yang tidak selamat, penarikan subsidi minyak kepada pengusaha, serta kesan pandemik Covid-19 yang menjejaskan kesinambungan mobiliti rakyat," katanya.

Sebagai penyelesaian segera, terminal feri dipindahkan dari Jesselton Point ke Pelabuhan Kota Kinabalu, dan kini diurus sepenuhnya oleh pihak Pelabuhan Kota Kinabalu.

"Projek ini turut menerima peruntukan RM1.3 juta daripada Kementerian Wilayah Persekutuan bagi kerja-kerja penambahbaikan," katanya.

Hajiji berkata, perkhidmatan itu dijangka memberi impak positif terhadap sektor pelancongan negeri, khususnya menjelang Tahun Melawat Sabah 2026.