RUU Pembaharuan Semula Bandar satu bentuk ‘paksaan sah’ rampas tanah - PN

KOTA BHARU – Cadangan Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) didakwa sebagai satu bentuk ‘paksaan sah’ yang membolehkan rampasan tanah menggunakan undang-undang.

Itu penegasan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berhubung draf RUU tersebut yang menurutnya memberi kuasa luar biasa kepada pihak berkuasa dan pemaju untuk mengambil tanah rakyat, khususnya di kawasan bandar.

Menurut beliau, RUU PSB memberi ruang kepada pengambilalihan hartanah walaupun tanpa persetujuan penuh pemilik, dan ini bertentangan dengan semangat hak milik yang dijamin oleh Perlembagaan.

“Kalau sebelum ini perlukan 100 peratus persetujuan pemilik, sekarang mereka cuma perlukan 80 peratus, atau dalam kes tertentu hanya 51 peratus. Ini sudah jadi bentuk paksaan yang dilegalkan melalui undang-undang.

“Sedangkan 20 hingga 49 peratus yang tidak bersetuju tetap terpaksa akur. Di mana keadilan sosialnya? Adakah ini bukan bentuk rampasan?”

**media[3149404]**

Beliau berkata demikian selepas menerima memorandum bantahan daripada Dewan Pemuda Pas Kawasan Kota Bharu yang diserahkan oleh Ketua Pemuda Pas Kawasan Kota Bharu, Marwan Husin di Pejabat Ahli Parlimen di sini, pada Ahad.

Takiyuddin berkata, antara peruntukan yang amat dibimbangi ialah cadangan membolehkan pengambilan semula bangunan yang berusia lebih 30 tahun jika 75 peratus pemilik bersetuju, malah turut diperluaskan kepada bangunan yang dianggap uzur atau terbengkalai.

Tambah beliau, pengalaman di kawasan seperti Kampung Kerinchi dan Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur membuktikan bahawa pembangunan semula bukan sahaja menukar landskap fizikal, tetapi menjejaskan kesinambungan penempatan asal masyarakat Melayu.

“Kawasan seperti Sungai Baru asalnya diperuntukkan sebagai Penempatan Pertanian Melayu oleh Sultan Selangor, tetapi hari ini, siapa mampu beli semula unit baharu yang dibina?

“Ini bukan pembangunan yang menyeluruh. Ini peminggiran berstruktur yang berlaku atas nama undang-undang,” katanya lagi.

Menurut Takiyuddin, RUU PSB juga dilihat bercanggah dengan beberapa undang-undang sedia ada termasuk Akta Pengambilan Balik Tanah dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak terhadap harta benda.

Katanya, kuasa yang diberikan menerusi RUU PSB tidak seimbang kerana membolehkan pemaju berunding terus dengan kerajaan atau pemilik tertentu tanpa melibatkan keseluruhan komuniti.

“Proses ini secara tidak langsung mengetepikan suara golongan minoriti yang masih mahu kekal di tanah sendiri.

“Ini seperti meletakkan undang-undang di tangan pemaju, dengan nama pembangunan dijadikan alasan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar semua Ahli Parlimen Melayu, sama ada kerajaan mahupun pembangkang, menyemak semula pendirian mereka jika RUU ini benar-benar dibawa ke Parlimen.

“Kami akan lawan sehabis mungkin. PN tidak menolak pembangunan, tapi bukan dengan cara memaksa rakyat pindah demi memberi laluan kepada pangsapuri mewah yang mereka sendiri tidak mampu beli.

“RUU ini adalah satu bentuk ketidakadilan yang diinstitusikan. Ia mesti ditolak sebelum lebih banyak komuniti asal menjadi mangsa,” tegas beliau.