PN tiada hasrat 'pancing' Tengku Zafrul, Rafizi dan Nik Nazmi

KOTA BHARU – Perikatan Nasional (PN) tidak berhasrat untuk menarik tiga tokoh kerajaan, Datuk Seri Rafizi Ramli, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Nik Nazmi Nik Ahmad untuk menyertai gabungan itu.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tiada sebarang pendekatan dibuat secara rasmi terhadap mana-mana pihak berhubung perkara itu.

“Kami tak pernah ajak atau bincang dengan mereka untuk masuk PN. Kalau mereka sendiri rasa mahu bersama dalam perjuangan yang kami bawa, itu terpulang.

“Tapi setakat ini, kami tidak berniat untuk tarik sesiapa pun,” katanya ketika sidang akhbar di Pejabat Ahli Parlimen Kota Bharu di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas berkata, andai ada antara mereka yang mahu menyokong pendirian PN di Parlimen, perkara itu tidak menjadi masalah selagi ia mengikut saluran sah.

**media[3149337]**

Namun beliau berkata, bagi ahli Parlimen yang terikat dengan undang-undang anti lompat parti, sebarang perubahan pendirian politik tetap tertakluk kepada peruntukan undang-undang sedia ada.

“Dalam konteks hari ini, kami bukan cari individu. Kami pertahan prinsip dan dasar,” katanya.

Sementara itu, ditanya berhubung tindakan Tengku Zafrul yang dilapor bakal meninggalkan Barisan Nasional (BN) untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), Takiyuddin menyifatkan tindakan itu sebagai tidak teguh pendirian.

“Apabila seseorang sering berubah pendirian, susah untuk kita faham ke mana haluannya. Dulu ada cakap-cakap beliau akan bersama PN, sekarang pula ke PKR.

“Saya tak tahu sama ada langkah itu berkait dengan kedudukan beliau dalam kerajaan atau sebab lain. Tapi rakyat boleh menilai,” katanya.

Sebelum ini Rafizi dilaporkan menghantar surat peletakan jawatan Menteri Ekonomi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkuat kuasa 17 Jun depan.

Nik Nazmi sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam turut mengambil langkah sama dan mengumumkan menghantar surat peletakan jawatannya berkuat kuasa 4 Julai depan.

Tindakan itu dibuat selepas kedua-dua mereka tewas dalam pemilihan PKR baru-baru ini.