Peruntukan pembangkang: PN gesa kerajaan segera buka meja rundingan rasmi

KOTA BHARU – Perikatan Nasional (PN) menggesa Kerajaan Persekutuan segera membuka meja rundingan secara rasmi berhubung isu peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang yang sehingga kini belum ada penyelesaian.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, surat menyatakan hasrat untuk berbincang dihantar kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof sejak 14 Mac lalu namun hanya dibalas selepas beliau membuat kenyataan media mendesak penjelasan.

“Jawapan hanya diterima pada 16 April, iaitu lebih sebulan kemudian. Tetapi yang kami terima hanyalah surat meminta kami nyatakan pendirian terhadap satu draf memorandum persefahaman sedia ada dan bukan jemputan untuk berunding.

“Macam mana nak nyatakan pendirian kalau belum dibincang pun? Rundingan ini sepatutnya berlaku secara dua hala, bukan kerajaan bagi syarat kemudian minta kami setuju atau tidak,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Ahli Parlimen di sini, pada Ahad.

Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas, menegaskan bahawa PN tidak mahu menjadikan isu ini sebagai polemik politik semata-mata, tetapi mendesak penyelesaian kerana ia melibatkan hak pengundi dan kesejahteraan kawasan.

“Ini bukan soal PN atau mana-mana parti tetapi soal wakil rakyat dan pengundi.

“Mereka yang undi pembangkang pun bayar cukai, juga perlukan pembangunan dan program di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan menafikan dana Ahli Parlimen kepada kawasan pembangkang adalah tidak adil dan bercanggah dengan semangat demokrasi.

Katanya lagi, semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan ketika itu bersetuju memperuntukkan dana tahunan kepada wakil rakyat pembangkang, termasuk melalui persefahaman rasmi dengan Pakatan Harapan (PH).

“Kami dulu pernah beri peruntukan kepada pembangkang secara sah dan telus.

“Jadi kenapa sekarang apabila kerajaan bertukar, prinsip itu berubah?” Soal beliau.

Menurut Takiyuddin, PN bersedia berbincang secara matang dan terbuka, namun kerajaan perlu menunjukkan komitmen yang bukan hanya meletakkan syarat dan mengharapkan pembangkang setuju tanpa rundingan.

“Kami bersedia untuk hadir kalau jawatankuasa rundingan ditubuhkan, tapi bukanlah dengan cara beri draf memorandum persefahaman, lepas itu minta kami setuju saja,” katanya.