BN bukan sekadar parti politik, tapi masa depan rakyat dan negara - Jalaluddin

SEREMBAN - Barisan Nasional (BN) bukan sekadar parti politik semata-mata, malah ia juga merupakan masa depan rakyat dan negara.

Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, sejak penubuhannya pada 1 Jun 1974, BN telah menzahirkan keupayaan luar biasa dalam menyatukan kepelbagaian, membina kestabilan dan memacu kemajuan negara.

"Kita bukan sekadar sebuah parti politik, kita adalah gerakan rakyat yang ikhlas berbakti yang tidak pernah lekang semangatnya walau diuji badai zaman.

"Jentera dan ahli-ahli BN di peringkat negeri telah memainkan peranan penting dalam mempertahankan dasar perjuangan yang berpaksikan kepentingan rakyat, kesejahteraan negara dan perpaduan nasional," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau yang mewakili UMNO Negeri Sembilan turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua ahli, pemimpin akar umbi, jentera pilihan raya serta para penyokong setia parti itu sama ada ketika masih berada di puncak kekuasaan mahupun saat diasak cabaran dan fitnah.

Ujarnya, inilah waktunya untuk BN muhasabah diri, menilai kembali kekuatan dan kelemahan serta membina semula keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap parti itu.

Tambahnya lagi, BN/UMNO perlu kekal relevan, progresif dan bersatu dalam melangkah ke hadapan demi memastikan agenda pembangunan dan perpaduan nasional terus diperkasa.

Justeru katanya, orang muda di negara diajak untuk mendekati sejarah dan memahami makna sebenar perjuangan parti tersebut dalam usaha membina Malaysia yang stabil, adil dan makmur.

"Selamat Ulang Tahun Ke-51 BN kepada seluruh warga parti dan rakyat Malaysia yang terus menaruh kepercayaan kepada perjuangan ini.

"51 tahun bukan tempoh yang singkat. Ia bukti ketahanan, kematangan dan iltizam BN dalam mendepani pelbagai cabaran dan perubahan landskap politik tanah air,"katanya.

.