SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dikatakan hadir bertugas seperti biasa di pejabatnya hari ini.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Setiausaha Akhbarnya, Farhan Iqbal, ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Menurut beliau, kehadiran Rafizi ke pejabat hari ini adalah seperti kebiasaan tanpa sebarang perkara luar daripada rutin.
“Ya, beliau masuk seperti biasa di pejabatnya hari ini,” katanya ringkas.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Pandan tersebut menyatakan kesediaannya untuk melepaskan jawatan sebagai Menteri Ekonomi sekiranya gagal mempertahankan kerusi Timbalan Presiden dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berlangsung pada 23 Mei lalu.
Dalam program 'Yang Bakar Menteri: Yang Berhenti Menteri' di Dewan Serbaguna MBSJ, beliau menegaskan bahawa jika tewas, dirinya akan kembali menjadi ahli Parlimen biasa dan terus membantu parti mendekati golongan muda.
Bagaimanapun, keputusan pemilihan PKR baru-baru ini, menyaksikan kemenangan berpihak kepada Nurul Izzah Anwar yang kini secara rasmi memegang jawatan Timbalan Presidennya.
Rafizi tewas dalam saingan tersebut, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai kedudukannya dalam kabinet.
Berdasar pemerhatian, beberapa penganalisis politik berpendapat, Nurul Izzah berkemungkinan menggantikan Rafizi sebagai Menteri Ekonomi dalam rombakan kabinet yang dijangka berlaku dalam masa terdekat.
Sementara itu, penganalisis politik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Mohamad Hafis Amat Simin berkata, walaupun Nurul Izzah dilihat berpotensi besar untuk mengambil alih portfolio tersebut, beliau perlu terlebih dahulu dilantik sebagai Senator memandangkan bukan merupakan ahli Parlimen.
Setakat ini, tiada kenyataan lanjut daripada Rafizi berhubung status beliau sebagai Menteri Ekonomi susulan kekalahan itu.