Rafizi bukan gagal tetapi bermaruah - PKR Cabang Johor Bahru

JOHOR BAHRU - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Johor Bahru menempelak kenyataan Ketua Penerangan UMNO Johor Bahru, Ahmad Solehin Abd Ghani yang menyifatkan peletakan jawatan Rafizi Ramli sebagai Menteri Ekonomi sebagai ‘drama’.

Setiausahanya, Mohamad Faezal Muktar berkata, tuduhan itu tidak berasas dan hanya mengulangi naratif politik sempit yang tidak membawa manfaat kepada rakyat.

Menurutnya, tindakan Rafizi melepaskan jawatan susulan kekalahan dalam pemilihan parti adalah manifestasi kepada prinsip dan penghormatan terhadap mandat akar umbi.

“Ini bukan kegagalan, tetapi satu langkah bermaruah. Jika beliau gagal, mengapa Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sendiri yang juga pemimpin UMNO mengiktiraf beliau sebagai arkitek Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ),” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Faezal turut menegaskan bahawa Rafizi memainkan peranan penting dalam merangka pelaksanaan JS-SEZ yang kini menjadi projek tumpuan pertumbuhan ekonomi Johor bagi tempoh jangka panjang.

Katanya, kerjasama erat antara Rafizi dan Kerajaan Negeri telah menghasilkan satu dasar yang memberi manfaat terus kepada rakyat dan pelabur.

“UMNO Johor Bahru seharusnya menghargai sumbangan ini, bukan menyerang.

“Tindakan seumpama ini hanya memperlihatkan keghairahan politik melebihi kepentingan negeri,” ujarnya.

Tambah beliau, PKR Johor Bahru menyeru semua pihak termasuk UMNO agar mengamalkan politik matang dan menghormati prinsip demokrasi dalaman.

“Ambillah contoh daripada Datuk Onn Hafiz Ghazi yang profesional, terbuka dan menghargai kerjasama merentas sempadan politik demi pembangunan Johor,” katanya.

Pada Selasa, Ahmad Solehin dalam kenyataannya menyifatkan tindakan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli meletakkan jawatannya selepas tewas dalam pemilihan PKR hanya sekadar lakonan politik untuk melarikan diri daripada kegagalan sendiri.

Jelasnya, ramai yang teruja dan memuji langkah tersebut kononnya sebagai simbol prinsip dan integriti, namun hakikatnya ia adalah taktik mencipta persepsi semata-mata.