KJ macam lagu KRU Terhangat di Pasaran, mungkin diterima semula sertai UMNO - Penganalisis

SHAH ALAM - UMNO dilihat tidak menolak kemungkinan menerima semula bekas Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyertai pucuk pimpinan parti berkenaan kerana figura itu masih mempunyai aura dan pengaruh kuat dalam kalangan rakyat.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Afifi Abdul Razak berkata, penyertaan semula Khairy pastinya sangat dialu-alukan terutama ketika UMNO ketandusan tokoh bertaraf ‘bintang’ yang mampu mengembalikan semangat perjuangan parti.

“Khairy macam tajuk lagu KRU, Terhangat di Pasaran. Dengan kembalinya beliau menyertai UMNO, pastinya akan menarik kembali sokongan rakyat terhadap parti tersebut.

“Tambahan pula, UMNO kelihatan sangat terdesak untuk memulihkan sokongan orang Melayu kembali yang semakin merosot dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

“Jadi semestinya UMNO akan menerima sesiapa sahaja yang boleh membantu menguatkan semula parti,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun, Muhammad Afifi berkata, masih wujud keraguan sama ada Khairy masih berpegang kepada idealisme asal UMNO iaitu perjuangan untuk agama, bangsa dan negara.

Mengulas spekulasi yang berlegar, Muhammad Afifi berkata, khabar angin tentang Khairy kembali menyertai UMNO bukan sesuatu yang mengejutkan.

“Saya dah dengar lama dah. Daripada pelbagai sumber dan orang-orang Khairy pun masih berada dalam UMNO.

“Tetapi saya berpendapat, mana-mana individu yang ingin kembali ke pangkuan UMNO perlu menunjukkan kesetiaan jelas kepada presiden, kepimpinan parti dan orang Melayu,” katanya.

Sebelum ini, Khairy mengakui belum terfikir untuk menyertai mana-mana parti lain bagi menyambung semula kerjaya politiknya menjelang PRU16.

Bagaimanapun, menurut bekas Ahli Parlimen Rembau itu, beliau tidak menafikan menerima banyak pelawaan daripada parti selain UMNO.