Nurul Izzah, Ramanan antara disebut ganti Rafizi, Nik Nazmi

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka melakukan rombakan Kabinet susulan peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad, dengan Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Naib Presiden yang baharu, Datuk Seri R Ramanan adalah antara nama yang disebut-sebut berpotensi mengisi kekosongan tersebut.

Felo Penyelidik Ilham Centre, Mujibu Abd Muis berkata, rombakan tersebut dijangka turut melibatkan pemimpin lain yang tewas dalam pemilihan parti baru-baru ini.

“Kita melihat kemungkinan sama ada rombakan Kabinet dilakukan dengan segera atau menunggu sehingga satu lagi jawatan senator dan menteri (Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz) yang akan tamat tidak lama lagi.

“Apa yang pasti jika peletakan jawatan Rafizi dan Nik Nazmi diterima oleh Perdana Menteri, maka penggantian Menteri Ekonomi, dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam itu akan berlaku,” katanya kepada Sinar Harian.

Ujar Mujibu, individu terpilih untuk mengisi kekosongan berkenaan perlu berdasarkan merit dan keupayaan untuk meneruskan tugas khususnya Menteri Ekonomi, yang sangat mencabar ketika ini.

“Ia kerana persoalan tentang fiskal, rasionalisasi subsidi dan dasar yang diputuskan pada zaman Rafizi ketika itu, barangkali mahu dilihat oleh rakyat.

“Memandangkan kerajaan telah memasuki tahun ketiga pentadbiran, pasti rakyat mahu lihat hasil pelaksanaan mekanisme tersebut. Ini akan jadi cabaran kepada menteri seterusnya,” ujarnya.

Menurut Mujibu, tahun ini juga mungkin merupakan pusingan terakhir untuk Perdana Menteri melakukan rombakan Kabinet.

“Kini kerajaan berada dalam tahun ketiga penggal Parlimen ke-15. Maka, tahun keempat dan kelima nanti akan lebih tertumpu kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16.

“Jadi, sekiranya rombakan Kabinet perlu dilakukan, tahun inilah masanya,” menurutnya.

Sementara itu, kata Mujibu, Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia adalah antara calon berpotensi menyandang jawatan menteri penuh sekiranya rombakan Kabinet dilaksanakan.

Menurutnya, selain mengambil kira dari sudut hierarki beliau sebagai Naib Presiden kedua tertinggi parti selepas Datuk Seri Amirudin Shari, peletakan jawatan Nik Nazmi juga meningkatkan lagi kemungkinan untuk Ramanan mengisi kekosongan berkenaan.

“Memandangkan Nik Nazmi baru sahaja mengumumkan letak jawatan, maka mungkin itu jawatan yang layak bagi beliau sebagai Naib Presiden PKR.

“Kalau dilihat, daripada empat Naib Presiden satu-satunya yang masih memegang jawatan menteri ialah Chang Lih Kang (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, namun (hierarki) beliau paling hujung.

“Jadi ada kebarangkalian untuk (Ramanan) mengisi jawatan menteri penuh,” ulasnya. Amirudin dan seorang lagi Naib Presiden, Datuk Seri Aminuddin Harun, masing-masing ialah Menteri Besar Selangor dan Negeri Sembilan.