SHAH ALAM - “Sejujurnya, bukan sahaja parti (Parti Keadilan Rakyat) tetapi negara kehilangan pemimpin barisan hadapan (front face) yang progresif dan futuristik.”
Demikian luahan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir susulan keputusan peletakan jawatan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai anggota Jemaah Menteri.
Menurut Akmal, keputusan itu amat berat untuk diterima, namun kedua-dua pemimpin terbabit berpegang teguh pada prinsip perjuangan yang tidak pernah luntur sejak awal penyertaan mereka dalam politik arus perdana.
Katanya, semasa kempen pemilihan parti, Rafizi dan rakan-rakan seperjuangan tetap cekal mempertahankan idealisme reformasi walaupun perlu menongkah arus melalui kempen Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi dalam Ujian Kuasa (HIRUK).
“Segala tunjuk ajar serta teladan yang diberikan Saudara Rafizi akan terus menjadi pedoman untuk saya menjalankan amanah dan tugas dalam masa yang berbaki ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Terdahulu, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan mengumumkan keputusan peletakan jawatannya berkuatkuasa 17 Jun depan, diikuti Nik Nazmi berkuat kuasa 4 Julai ini.
Keputusan yang dibuat Rafizi dan Nik Nazmi itu atas alasan mereka tidak lagi mendapat mandat parti susulan kekalahan bagi pertandingan jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden PKR.
Berikutan itu, Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengesahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah menerima surat permohonan cuti dan pengunduran kedua-dua pemimpin utama PKR daripada jawatan anggota Kabinet.
Bagaimanapun, Anwar hanya akan memaklumkan sebarang keputusan terkait dua perkara itu pada waktu kemudian.
Sementara itu, Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru turut menzahirkan penghargaan terhadap semangat juang yang ditunjukkan oleh Rafizi dan Nik Nazmi, sambil menegaskan bahawa roh perjuangan mereka akan terus menjadi panduan utama buat barisan pemimpin muda dalam kerajaan.
“Tatkala negara akan terus hadapi cabaran yang sukar pada masa mendatang, roh semangat perjuangan Sdr Rafizi dan Sdr Nik Nazmi akan terus bersama kita semua,” katanya.
Tambah Akmal Nasrullah, segala tindakan dan pendirian politik akan dinilai bukan sahaja oleh rakyat malah oleh ALLAH SWT.
“Kita berdoa ke hadrat ALLAH agar terus diberikan kekuatan dalam menempuh ujian kuasa yang amat berat ini,” katanya.