Pemilihan PKR: Fadhlina sekali lagi tewaskan Rodziah

JOHOR BAHRU – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berjaya mempertahankan jawatan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas menewaskan pencabarnya, Rodziah Ismail dalam pemilihan parti sesi 2025–2028.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, mengumumkan bahawa Fadhlina memperoleh sebanyak 2,890 undi selepas perasmian Kongres Nasional Keadilan 2025.

Untuk rekod, pada pemilihan 2022 lalu, Rodziah yang juga Ahli Parlimen Ampang tewas kepada Fadhlina dengan perbezaan tipis iaitu hanya 32 undi, apabila beliau memperoleh 18,891 undi berbanding 18,923 undi oleh Fadhlina.

Sementara itu, penyandang jawatan Timbalan Ketua Wanita PKR, Juwairiya Zulkifli turut mengekalkan kedudukannya selepas memperoleh 2,760 undi, mengatasi pencabarnya.

Bagi jawatan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), kemenangan berpihak kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Muhammad Izuan Ahmad Kasim yang meraih 3,339 undi.

Terdahulu, Timbalan Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim diumumkan menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua AMK selepas tiada calon lain mencabar kedudukan tersebut dalam pemilihan kali ini.