JOHOR BAHRU – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan calon yang menang dalam pemilihan parti tahun ini agar tidak memonopoli kuasa, sebaliknya terus bekerjasama dengan semua pihak demi mengukuhkan parti.
Menurut beliau, kekuatan PKR bergantung kepada kesatuan semua pemimpin tanpa mengira keputusan pemilihan, dan pengalaman lalu wajar dijadikan iktibar untuk bergerak ke hadapan.
"Jangan kita andaikan yang menang kalah itu monopoli. Kita belajar pengalaman daripada kelemahan, beri sumbangan sebaiknya.
"Saya tak bertanding pun saya belajar (daripada pengalaman), pedih (akibat kalah) macam mana pun saya dengar.
"Yang tidak menang, saya akan pilih yang terbaik, saya akan bantu kerana agenda perjuangan ini lebih besar daripada Anwar. Saya nak pastikan ada kekuatan yang kita mahukan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap ketika Perasmian Kongres Nasional PKR 2025 di Pusat Konvensyen Persada Antarabangsa pada malam Jumaat.
Anwar turut menegaskan bahawa perjuangan parti lebih utama daripada kepentingan peribadi.
"Saya juga ada pandangan tetapi tidak sekeras Rafizi, tapi degil lebih kurang, keras kepala pun lebih kurang," ujarnya.