Kem Nurul Izzah dominasi pemilihan PKR

SHAH ALAM – Nurul Izzah Anwar menepati ramalan apabila diumumkan secara rasmi menang jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas memperoleh 9,803 undi, sekali gus menewaskan penyandang, Datuk Seri Rafizi Ramli, yang mendapat 3,866 undi.

Untuk rekod, Rafizi pernah tewas dalam saingan jawatan Timbalan Presiden PKR pada 2018 kepada bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Namun, beliau bangkit semula dengan kemenangan pada pemilihan 2022, menewaskan bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Kemenangan Nurul Izzah bertambah manis apabila ramai penyokongnya turut memenangi jawatan Naib Presiden dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), menerusi keputusan rasmi pemilihan PKR yang diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan (JPP), Dr Zaliha Mustafa, pada Jumaat.

Bagaimanapun, persaingan merebut jawatan Naib Presiden dilihat seimbang apabila dua penyokong Nurul Izzah dan dua penyokong Rafizi masing-masing berjaya menewaskan lapan calon lain.

**media[3138599]**

Dua pemimpin daripada kem Nurul Izzah yang menang jawatan Naib Presiden ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (penyandang), dan muka baharu merangkap Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, dari kem Rafizi pula berjaya mempertahankan kerusi Naib Presiden.

Dua lagi calon Naib Presiden dari kem Rafizi yang tewas ialah penyandang merangkap Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, dan Setiausaha Politik kepada Presiden PKR, G. Manivanan.

Untuk rekod, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Muhammad Kamil Abdul Munim masing-masing menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), berikutan tiada pencabar.

Jawatan Ahli MPP turut dikuasai oleh sebahagian besar barisan pemimpin daripada kem Nurul Izzah yang diketuai oleh Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil, diikuti bekas Ketua AMK, Adam Adli Abdul Halim, dan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Chan Ming Kai.

Turut mencatatkan kemenangan ialah bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik; Ketua Cabang Ampang, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad (Altimet); bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong; dan ramai lagi.

Fahmi mendahului senarai 20 calon MPP teratas dengan memperoleh 4,811 undi, diikuti Adam Adli (4,798 undi), Chan Ming Kai (4,753 undi), Gunaraj (4,699 undi) dan Setiausaha PKR Perak, Mohd Azlan Helmi, yang turut meraih 4,699 undi.

Dalam pada itu, hanya tiga daripada 25 pemimpin dan penyokong Rafizi berjaya memenangi jawatan MPP, iaitu Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir; Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor, Syed Ibrahim Syed Noh; dan Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung.

Penyokong kuat Nurul Izzah yang juga Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berjaya mempertahankan jawatan Ketua Wanita PKR selepas menewaskan pencabarnya yang juga Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail.