JOHOR BAHRU – Perebutan jawatan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyaksikan tiga penyandang mengekalkan posisi mereka, manakala satu lagi kekosongan diisi oleh muka baharu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, kekal sebagai Naib Presiden parti itu.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramachandran, berjaya merebut jawatan tersebut dalam percubaan pertamanya.
Keputusan rasmi bagi jawatan Naib Presiden PKR itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, dalam Kongres Nasional Keadilan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru, pada Jumaat.
Datuk Seri Ramanan, yang sebelum ini merupakan ahli MIC, menyertai PKR pada tahun 2020 sebelum dicalonkan dan memenangi kerusi Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada tahun 2022 atas tiket Pakatan Harapan.
Nama beliau pernah menjadi topik perbincangan dalam kempen Rafizi Ramli menerusi Jelajah HIRUK, apabila pencalonannya di kerusi Parlimen Sungai Buloh dipertikaikan oleh sesetengah pihak kerana beliau masih baharu dalam PKR.