JOHOR BAHRU - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon maaf kepada ahli dan perwakilan parti kerana kurang memperuntukkan masa kepada urusan parti sejak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri.
Menurut Anwar, sepanjang hampir tiga tahun mentadbir negara, beliau lebih banyak memberi tumpuan kepada urusan kerajaan dan kepentingan negara, menyebabkan masa untuk parti menjadi terhad.
“Mulai bulan depan, saya akan peruntukan sekurang-kurangnya sehari dalam seminggu untuk memberi fokus kepada kerja-kerja parti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Kongres Nasional Keadilan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru pada Jumaat.