Laungan reformasi sambut ketibaan Rafizi

JOHOR BAHRU – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli mencuri perhatian apabila hadir sedikit lewat ke Dewan Kongres Nasional Keadilan di sini, selepas ketibaan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan selepas lagu Negaraku, lagu negeri Johor serta lagu rasmi Keadilan dinyanyikan.

Beliau yang mengenakan baju Melayu biru, tiba bersama kumpulan penyokongnya dan disambut laungan "Reformasi" oleh para perwakilan yang memenuhi dewan.

Sebaik tiba, Rafizi terus menuju ke pentas utama dan bersalaman dengan Anwar serta barisan pimpinan tertinggi parti, sambil lensa kamera jurugambar tertumpu kepadanya untuk merakam detik tersebut.

Terdahulu sekitar jam 4 petang, Rafizi membuat penampilan mengejut di Hotel Berjaya Waterfront di sini bagi menunaikan tanggungjawab mengundi dalam pemilihan parti.

Sejak petang, tersebar desas-desus bahawa beliau gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden selepas dikatakan menerima undi lebih rendah berbanding pencabarnya, Nurul Izzah Anwar.