Wanita PKR perlu terus perkukuh kekuatan parti

JOHOR BAHRU - Ketua Wanita Pusat Keadilan, Fadhlina Sidek mahu sayap parti itu terus memberikan komitmen terbaik dalam usaha memperkukuhkan kekuatan dalaman parti bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Menurutnya, wanita diperkasakan dengan latihan dan kefahaman mendalam mengenai kempen dan strategi pilihan raya.

"Fokus kita sekarang ialah memperkukuh parti, bina kekuatan sebelum melangkah ke medan pilihan raya. Paling utama ialah menyelesaikan salah faham, budaya buruk sangka dan mengumpat.

"Justeru, harapan kita agar kepimpinan baharu dapat benar-benar menterjemahkan nilai keadilan dalam tindakan mereka kelak," katanya ketika penggulungan Kongres Wanita PKR 2025 di sini pada Jumaat.

Fadhlina turut merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan cabang parti yang telah menggunakan mandat dengan sebaiknya serta berdisiplin dalam melaksanakan tanggungjawab parti.

“Saya ingin ucapkan tahniah kepada kesemua 1,265 wanita yang telah mengundi, membuat pemilihan bagi memilih pasukan.

"Dalam masa sama, saya juga amat berbangga dengan perbahasan hari ini... antara yang terbaik saya pernah dengar," katanya.

Sementara itu, Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan mahu memastikan agenda pendidikan dan hak wanita terus diperjuangkan.

Katanya, pihak Kementerian Pendidikan kini sedang merangka dasar baharu bagi mewajibkan pendidikan sekolah menengah hingga ke peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Ini penting, khususnya bagi menangani isu keciciran pelajar dan kita mahu pastikan anak-anak terus berada dalam sistem pendidikan.

“Namun, perubahan hanya boleh berlaku jika kita menjadi kerajaan. Sebab itu penting untuk memastikan calon-calon yang kita ketengahkan benar-benar memahami dan menguasai medan pilihan raya,” katanya.

Untuk rekod, Kongres Wanita PKR 2025 ditangguhkan tepat pada jam 4.07 minit petang pada Jumaat.