'Saya diminta bertanding kerana kegusaran jawatan Timbalan Presiden kosong - Nurul Izzah

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menjelaskan bahawa beliau menerima seruan daripada pimpinan dan akar umbi parti untuk bertanding jawatan tersebut susulan kegusaran berhubung kemungkinan kekosongan jawatan itu selepas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mengambil cuti.

Beliau berkata, kebimbangan terhadap potensi kekosongan kepimpinan itu telah menggusarkan ramai pihak, terutamanya dalam kalangan anggota dan pimpinan PKR, sehingga ada yang menyeru agar beliau tampil menawarkan diri sebagai calon Timbalan Presiden.

“Seruan itu telah disokong oleh 201 daripada 220 cabang parti. Hanya pada hari terakhir penamaan calon, Saudara Rafizi mengumumkan pencalonannya, selepas saya telah menyambut seruan yang diberikan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Menurut Nurul Izzah, beliau berada di India bagi menghadiri sebuah persidangan antarabangsa ketika menerima berita bahawa Rafizi telah mengambil cuti dan mengosongkan pejabatnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kepimpinan parti dimaklumkan mengenai sepucuk surat peletakan jawatan yang telah pun disediakan.

“Ketika itu, timbul kebimbangan bahawa beliau mungkin tidak akan bertanding jawatan Timbalan Presiden, sekali gus menambahkan keresahan tentang potensi kekosongan kepimpinan,” ujarnya.

Tambah beliau, situasi itu berlaku susulan beberapa siri kekalahan di peringkat cabang melibatkan pimpinan yang sehaluan dengan Rafizi serta tokoh-tokoh lain di peringkat akar umbi.

Dalam pada itu, Nurul Izzah juga tidak menafikan bahawa kritikan Rafizi terhadap keputusan pemilihan mencerminkan suara banyak cabang yang menyaksikan perubahan terhadap status quo.

“Sesungguhnya, setiap pemilihan parti pasti hadir dengan cabaran tersendiri, namun segala kebimbangan dan isu yang dibangkitkan para calon mesti disemak dan ditangani dengan teliti,” katanya.

Beliau bersetuju bahawa amat penting untuk proses penambahbaikan dilaksanakan terhadap sistem pemilihan parti bagi menjawab kebimbangan tersebut dan mengurangkan defisit kepercayaan, walaupun audit antarabangsa telah pun dijalankan bagi menyiasat isu-isu yang dibangkitkan.

Tambah Nurul Izzah, langkah-langkah tegas seperti itu dan penambahbaikan berterusan adalah penting bagi membantu mewujudkan budaya kebertanggungjawaban, ketelusan, perpaduan serta nilai-nilai yang sering ditekankan oleh kepimpinan tertinggi parti.