JOHOR BAHRU - Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli masih belum tiba di hari terakhir Kongres Nasional PKR 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini pada Sabtu.
Ketiadaan beliau mencetuskan tanda tanya kerana Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah pun tiba ke lokasi seawal jam 8.40 pagi bersama beberapa pimpinan tertinggi yang lain.
Kongres Nasional PKR 2025 menyaksikan beberapa perubahan dalam barisan kepimpinan utama parti termasuk kekalahan beberapa penyandang jawatan utama.
Sebelum ini media melaporkan, Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar menewaskan Rafizi dan merampas jawatan sebagai timbalan presiden parti.
Keputusan rasmi jawatan Timbalan Presiden PKR itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dalam Kongres Nasional Keadilan di Persada Johor International Convention Centre Johor Bahru pada Jumaat.
Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh memperoleh 9,803 undi untuk menewaskan penyandang jawatan itu, Datuk Seri Rafizi Ramli yang meraih 3,866 undi.
Pada masa sama, Rafizi juga enggan mengulas lanjut berhubung keputusan pemilihan parti selepas diumumkan Zaliha Mustafa.
Ketika ditemui pemberita, Rafizi hanya berkata 'It’s ok, you should ask the (new)' Timbalan Presiden,” sambil menunjukkan riak sedikit kecewa.
Beliau turut kelihatan kurang senang apabila ditanya sama ada beliau menerima keputusan tersebut dengan baik.
“What kind of question is that?” balasnya ringkas sebelum beredar.