SHAH ALAM - Pemuda MCA menuntut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memohon maaf kerana mempolitikkan MyKiosk dan membuat tuduhan tidak berasas terhadap parti itu.
Ketua Pemuda MCA, Ling Tian Soon berkata, pihaknya kesal tindakan Kor Ming menuduh parti itu cuba memporak-perandakan rakyat semata-mata membangkitkan isu MyKiosk.
Sedangkan, beliau menegaskan MCA sebagai sebuah parti politik sentiasa bertanggungjawab kepada negara serta mengangkat suara rakyat supaya mendapat perhatian pihak berwajib.
"Pemimpin MCA di pelbagai peringkat sering membangkitkan persoalan dan kementerian lain memilih untuk menjawabnya dengan data dan fakta, namun bukan Kor Ming.
"Beliau boleh memilih untuk membetulkan MCA sekiranya kami salah, sebaliknya menyerang dan menyifatkan ahli-ahli MCA tidak buat kerja dan tidur," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tian Soon berkata, Kor Ming turut membuat tuduhan MCA mempunyai agenda untuk menyertai Perikatan Nasional.
"Bahasa kurang sopan yang dikeluarkan juga amat luar biasa bagi seorang menteri Kabinet," ujarnya.
Justeru, Tian Soon berkata, Pemuda MCA menuntut supaya Kor Ming meminta maaf atas tindakannya mempolitikkan isu berkenaan serta membuat tuduhan tidak berasas terhadap MCA.