'Tiada perpecahan dalam BN Sabah, hanya salah faham'

KOTA KINABALU - Tidak melangkaui susunan hierarki amat penting bagi memastikan organisasi politik kekal utuh dan tidak mencetus persepsi negatif dalam kalangan pihak luar, kata Datuk Seri Dr Anil Sandhu.

Sehubungan itu, Exco Pemuda Barisan Nasional (BN) itu menafikan wujudnya perpecahan seperti yang didakwa berlaku dalam kepimpinan gabungan parti itu di Sabah.

"Bagi saya salah faham antara satu sama lain kadang-kadang memang berlaku, tetapi tidaklah ada perpecahan seperti yang diuar-uarkan, ada 'kem' ini, ada 'kem' itu, kerana kita satu parti dan kita mempunyai hierarki.

"Yang penting kita jangan melangkaui yang sepatutnya sudah disusun. Jadi saya melihat saranan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu saya ambil ia sebagai satu pendekatan yang baik bahawa tiada perpecahan di peringkat atasan.

"Tetapi di peringkat bawahan atau pihak lain yang selalu mengembar-gemburkan keadaan itu (nampak) berpecah supaya mungkin akan membawa manfaat kepada pihak lain kerana apabila saya jumpa pemimpin-pemimpin yang disebut-sebut, saya lihat mereka boleh duduk sama tinggi, sama rendah," katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Bendahari Pemuda UMNO Sabah itu lagi, beliau sebagai pemimpin muda bersetuju dengan saranan Pengerusi BN agar wujud keterangkuman dalam parti kerana langkah itu penting bagi memastikan kerajaan yang dibentuk selepas PRN nanti kekal stabil.

"Untuk menghadapi PRN ini saya menaruh keyakinan BN Sabah telah bersedia dengan jentera untuk kerusi yang sepatutnya kita akan bertanding.

"Bagaimanapun, kita masih menunggu Pakatan Harapan (PH) seperti yang dikatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Tawau baru-baru ini mengenai apa saranan Ketua Menteri daripada kalangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk berbincang pula dengan BN.

"Ini kerana sudah ada pasukan-pasukan tertentu yang sudah diputuskan oleh pucuk pimpinan Pusat dan kepimpinan Sabah yang akan menentukan kerusi yang kita akan pertandingkan dan diletakkan calon.

"Jadi untuk saya sebagai anak muda, perlunya kesepakatan kerana saya mahu kerajaan yang stabil dan boleh membawa masa depan negeri ini jauh lebih baik tidak kira mana pun daerah," katanya.

Ahmad Zahid dalam ucapannya ketika melancarkan Gerak17 UMNO Sabah Parlimen Sepanggar pada Ahad lalu menegaskan bahawa beliau tidak mahu sebarang bentuk perpecahan berlaku dalam parti ketika negeri Sabah sedang bersiap sedia menghadapi PRN17.

Beliau dalam pada itu menolak sebarang kewujudan kumpulan atau kem tertentu yang cenderung kepada individu tertentu dalam kalangan pimpinan parti di Sabah.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat melihat andaian wujud kem tertentu hanya persepsi pihak luar apatah lagi ketika Sabah bakal berhadapan dengan PRN17.

Malah dakwanya, ia mungkin agenda tertentu untuk melihat kepimpinan UMNO-BN tidak sehaluan sedangkan ia tidak seperti yang digambarkan.

"Sebenarnya dalam kepimpinan UMNO tidak ada perpecahan, tiada 'team Datuk Bung', tiada 'team Datuk Rahman Dahlan', tiada 'team Datuk Salleh', tiada 'team Datuk Yakub'.

"Ini semua persepsi daripada masyarakat saja tapi biasalah dalam politik ini, perbezaan pendapat itu tiada masalah tetapi jangan saja kita berpecah.

"Kita mengikut institusi presiden dan kita hormat institusi parti, siapa yang diamanahkan jadi ketua, kita hormat pada ketua kita selagi dia jadi ketua jadi tiada isu perpecahan apatah lagi kita akan menghadapi pilihan raya," katanya.

Katanya lagi, dalam perjumpaan dengan penyokong di bawah dan menerusi program yang dianjurkan di peringkat bahagian juga sering menekankan bahawa perpecahan dalam kalangan pemimpin memang tidak wujud.

"Cuma ini digambarkan oleh pihak lain dan sudah tentu ada banyak musuh yang mahu kita berpecah supaya menjadi lemah," ujarnya.