SHAH ALAM - Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming digesa mengemukakan bukti dakwaan bahawa MCA cuba memporak-perandakan kerajaan.
Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata, MCA hanya melaksanakan tanggungjawabnya dengan menuntut penjelasan berkaitan isu-isu berbangkit.
"Sila kemukakan bukti bahawa 'adik-beradik' kami dalam BN cuba porak perandakan kerajaan. Mereka cuma buat kerja dengan bertanyakan hal yang perlukan penjelasan.
"Jangan rumitkan keadaan. Kami dah bersama sebagai 'adik-beradik' sejak tahun 1973. Walaupun yang tinggal cuma satu kerusi sahaja, anda tidak berhak untuk menyatakan apa yang anda nyatakan.
"Ia kerana yang perlu anda jelaskan adalah persoalan umum berkenaan kiosk di bawah kelolaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)," katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Selasa.
Media sebelum ini melaporkan, Nga Kor Ming, mendakwa tindakan Parti MCA seolah-olah mempunyai agenda tersembunyi untuk meruntuhkan kerajaan, meskipun mereka merupakan sebahagian daripada komponen kerajaan.
Dalam pada itu Nurulhidayah mendakwa, tindakan Kor Ming yang menyalahkan orang lain menunjukkan sikap defensif, tidak bertanggungjawab atau kurang matang.
"@ngakorming.official anda tahu apa implikasi kenyataan anda ini? Pertama, rakyat akan hilang kepercayaan jika pemimpin dilihat gagal memimpin dan hanya menyalahkan orang lain.
"Kedua, anda melahirkan budaya 'politik-king' berbanding budaya menyelesaikan masalah dan ketiga anda menghalang wacana politik yang sihat dan matang," katanya.