Elak serangan peribadi yang boleh boleh menghancurkan parti - Sivamalar

KUALA LUMPUR - Persaingan merebut jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti tidak seharusnya dicemari dengan serangan peribadi atau retorik yang boleh mencetuskan perpecahan dalam parti.

Naib Pengerusi Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sivamalar Genapathy berkata, PKR dikenali dengan budaya politik matang serta perbahasan dasar konstruktif sejak penubuhannya, namun suasana pemilihan kali ini menyaksikan wujudnya serangan terbuka terhadap sesama pemimpin.

“Saingan antara Nurul Izzah Anwar dan Datuk Seri Rafizi Ramli telah membangkitkan emosi dalam kalangan ahli. Walaupun setiap anggota mempunyai hak untuk bertanding, tindakan mengkritik secara terbuka rakan seperjuangan tidak mencerminkan nilai politik yang kita junjung.

“PKR dibina atas semangat reformasi, keterangkuman dan idea-idea dasar yang membina, bukan serangan peribadi atau perbalahan dalaman yang disiarkan kepada umum,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau yang juga calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) menyeru semua calon dan penyokong agar memanfaatkan pemilihan kali ini sebagai wadah memperkenalkan visi dan manifesto, bukan platform untuk menimbulkan perpecahan.

“Kita perlu kembali kepada asas perjuangan. Ahli mahu mendengar cadangan dan idea, bukan kecaman atau perebutan kuasa yang memecahbelahkan. Pemilihan ini adalah ruang untuk kita perkuat kepercayaan rakyat, bukan melemahkannya,” ujarnya.

Menurut Sivamalar, serangan terhadap mana-mana pemimpin utama dalam parti hanya akan merugikan parti secara keseluruhan kerana setiap individu mempunyai peranan penting dalam perjuangan.

“Datuk Seri Saifuddin Nasution, Datuk Seri Rafizi, Nurul Izzah, Dr Fuziah Salleh dan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, semuanya aset berharga kepada parti. Menyerang salah seorang dalam kalangan mereka seperti meruntuhkan kekuatan yang kita bina bersama,” katanya.

Beliau turut berkongsi pengalamannya apabila tewas dalam pemilihan cabang, namun memilih untuk bangkit dan terus memberi tumpuan kepada matlamat yang lebih besar demi parti.

“Saya tahu perasaan kecewa itu. Tetapi saya hanya ambil masa dua minggu untuk kembali fokus. Jika ada kelemahan dalam sistem pemilihan, kita ada masa tiga tahun untuk perbaiki hanya kira-kira seribu hari dari sekarang.

“Tetapi kerosakan akibat perpecahan dan tindakan mendedahkan perselisihan kepada umum akan meninggalkan kesan jangka panjang yang sukar diperbaiki,” tegasnya.

Sivamalar turut menggesa ahli parti itu agar tidak menjadikan perbezaan pandangan sebagai alasan untuk memperbesar isu dalaman parti secara terbuka yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat.

“Rakyat sedang menilai kita. PKR perlu kekal utuh dan memperlihatkan integriti serta perpaduan. Marilah kita bersatu atas tujuan bersama dan nyalakan semula semangat reformasi yang menjadikan Keadilan sebagai simbol harapan untuk rakyat Malaysia,” katanya lagi.