BN bawa pembangunan, bukan slogan - Bung Moktar

KOTA KINABALU - Perubahan dan kestabilan politik hanya berlaku apabila Barisan Nasional (BN) mengambil alih pentadbiran kerajaan Sabah pada tahun 1994, kata Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau yang juga Ketua UMNO Sabah berkata, dengan adanya kestabilan kerajaan, BN akhirnya dapat memberi tumpuan kepada pembangunan di seluruh Sabah.

"Kita bina infrastruktur asas seperti jalan raya, sekolah dan hospital. BN bina universiti, rangkaian jalan raya termasuk Lebuhraya Pan Borneo.

"Pembangunan luar bandar juga rancak semasa pemerintahan BN selama 24 tahun. Keupayaan untuk membawa pembangunan ini bukan datang daripada slogan, tetapi hasil kestabilan, pengalaman dan rangkaian pentadbiran yang mantap antara negeri dan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau lagi, perpaduan politik Sabah tidak akan tercapai hanya melalui kenyataan umum, tetapi mesti dibina melalui dasar yang jelas, pentadbiran yang stabil dan keikhlasan dalam berkhidmat untuk rakyat.

"Politik bukan soal sentimen dan emosi. Politik perlu diurus secara bijaksana. Sukar bagi kerajaan negeri untuk membangun sekiranya hubungan dengan kerajaan Persekutuan terus bergelora.

"Reformasi politik Sabah tidak seharusnya menanam bibit-bibit kebencian yang terlalu mendalam, kerana akhirnya akibat buruk akan ditanggung oleh rakyat dan bukannya ahli politik," katanya.

Bung Moktar dalam pada itu menegaskan bahawa UMNO Sabah tidak menolak prinsip perkongsian kuasa, reformasi parti dan kepimpinan berintegriti.

Sehubungan itu, beliau menyambut baik kenyataan terbuka yang menyeru agar pemimpin Sabah bersatu demi kepentingan negeri dan rakyat.

"UMNO Sabah menyokong usaha yang menjurus ke arah kestabilan politik dan kemajuan rakyat. Namun, adalah penting untuk kita berpijak pada asas yang benar dan tidak mengabaikan fakta sejarah yang telah membentuk perjalanan negeri ini.

"Malah, kami telah membuktikan bahawa pentadbiran yang sistematik dan berpandangan jauh mampu menghasilkan kesan langsung kepada kehidupan rakyat.

"Oleh itu, dalam usaha menyeru perpaduan, kita juga perlu bersikap adil terhadap sejarah supaya kesilapan lama tidak diulang atas nama semangat baharu.

"UMNO Sabah juga akan terus komited dalam memperjuangkan hak-hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), memperkukuh kestabilan politik dan memastikan rakyat Sabah mendapat layanan yang adil dan saksama dalam kerangka Persekutuan Malaysia," katanya.