'Isu dalaman Bersatu sepatutnya tanya dalam grup WhatsApp MPT' - Tun Faisal

SHAH ALAM - Mana-mana persoalan berhubung isu dalaman parti termasuk ketiadaan penglibatan beberapa pemimpin utama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam pasukan misi jelajah ke negeri-negeri bakal mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) sepatutnya ditanya dalam 'grup WhatsApp Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT)'.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, ahli MPT parti itu, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal sepatutnya boleh mendapatkan pencerahan mengenai status pemimpin-pemimpin utama yang didakwa tidak dilibatkan dalam program misi jelajah Bersatu melalui saluran dalaman parti.

"Soalan seperti ini boleh ditanya di dalam 'grup whatsApps' Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) (Bersatu).

"Ada 'grup WhatsApps' MPT, dia boleh tanya di sana untuk dapat Jawapan," katanya melalui satu kenyataan ringkas kepada Sinar Harian.

Pada Isnin, Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang membuat hantaran dalam laman Facebook mempersoalkan hanya Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang turun padang untuk Jelajah Bersatu.

"Kenapa Jelajah Bersatu turun ke negeri-negeri Timbalan (Presiden), Naib Presiden II tak dijemput?

"MPT (Majlis Pimpinan Tertinggi) pun tak dimaklumkan. Luar biasa?" ujarnya.

Untuk makluman, Bersatu telah memulakan misi jelajah ke negeri-negeri yang bakal berdepan pilihan raya negeri (PRN) pada awal tahun ini

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, misi jelajah ini akan menjadi medium bagi parti itu mendengar taklimat awal berkaitan persiapan PRN yang dijangka diadakan pada bila-bila masa.

Menurutnya, Bersatu juga telah mulakan gerak kerja bagi memantapkan lagi barisan kepimpinan selain penambahan ahli dengan menubuhkan cawangan-cawangan baharu di setiap pusat daerah mengundi (PDM).