SEREMBAN - Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fadhlina Sidek menolak pelawaan debat yang disuarakan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail.
Menteri Pendidikan itu berkata, tiada keperluan untuk mengadakan debat kerana apa yang paling penting adalah usaha memperkukuhkan parti dan memberi sokongan penuh kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Jawapan saya sama dengan Nurul Izzah, tidak ada keperluan. Sekarang ini fokus kami adalah untuk memperkukuhkan parti.
"Semua seruan-seruan itu yang kita telah pun bawa bersama adalah untuk terus memperkukuhkan parti dan memberikan sokongan penuh kepada presiden parti kita," katanya kepada pemberita selepas Majlis Temu Rapat Akar Umbi Bersama Nurul Izzah Anwar di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian menjawab pelawaan Rodziah untuk berdebat mengenai masa depan wanita dengannya.
Mengulas mengenai budaya berdebat, beliau berkata, ia adalah satu perkara yang baik sekiranya diterjemahkan dalam konteks membahaskan isu-isu dasar.
"Pada hakikatnya ia memerlukan kefahaman dan suasana yang kondusiflah untuk perdebatan itu berlangsung.
"Tapi dalam keadaan sekarang kita nak bagi tumpuan dalam konteks lebih utama dari segi kesatuan, kekuatan dan mengukuhkan kembali parti ini," katanya.
Justeru itu beliau berkata, debat bukanlah menjadi keutamaan ketika ini dan tumpuan yang perlu diberi adalah kepada akar umbi.
Tambahnya, mereka perlu diberi keyakinan bahawa pemilihan parti kali ini adalah soal memastikan pemimpin yang mereka pilih adalah pimpinan yang benar-benar membawa suara akar umbi dan perubahan.