AMK Perak beri sokongan penuh kepada Muhammad Kamil

IPOH – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak mengambil maklum terhadap teguran Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli, yang menyentuh peranan serta prestasi sayap itu secara umum.

Ketua AMK negeri, Zaim Sidqi Zulkifly berkata, terdapat keperluan untuk menyemak semula persepsi yang ditimbulkan, terutamanya apabila ia melibatkan kepimpinan sedia ada yang telah bekerja keras secara konsisten.

Menurut beliau, Muhammad Kamil Abdul Munim telah membuktikan komitmen dan kesungguhannya dalam membina kekuatan organisasi anak muda parti sejak menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Ketua AMK sebelum ini.

“Gerak kerja beliau bukan bersifat bermusim atau retorik semata-mata, tetapi telah diterjemahkan dalam pelbagai bentuk tindakan meliputi program kebajikan, pembangunan sahsiah anak muda, pengukuhan kerohanian dan keterlibatan antarabangsa.

“Ketua AMK Malaysia itu juga tidak pernah berhenti bekerja, malah telah turun padang ke seluruh negara menyusun jentera negeri, mendengar pandangan akar umbi dan memastikan semangat perjuangan dalam kalangan anak muda terus menyala,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Zaim Sidqi yang juga Ketua AMK Kuala Kangsar berkata, sebarang pandangan atau penilaian terhadap prestasi AMK haruslah bersifat menyeluruh dan adil.

“Ia perlu mengambil kira konteks cabaran semasa, beban organisasi serta usaha yang telah dilaksanakan dengan sumber yang terhad.

“Kritikan yang tidak berpaksikan fakta hanya akan melemahkan semangat kerja kolektif yang telah dibina selama ini,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya percaya Muhammad Kamil akan terus memainkan peranan aktif dalam memperkasakan anak muda, sama ada dalam parti mahupun negara.

“Jalan reformasi tidak boleh digerakkan oleh retorik semata-mata, tetapi memerlukan kerja asas yang kukuh, ikhlas dan berterusan, nilai yang telah dibuktikan oleh kepimpinan Muhammad Kamil,” katanya.