SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli perlu ditentang kerana didakwa mengancam kestabilan dan keharmonian parti.
Calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Zainurizzaman Moharam atau dikenali sebagai Zack Rockstar menyifatkan pemimpin lama dalam PKR itu sudah tidak lagi boleh ditegur secara biasa.
“Rafizi bukan tidak boleh ditegur, tetapi kali ini, beliau perlu ditentang.
“Saya tampil mencabar Rafizi Ramli secara terbuka kerana saya percaya parti ini perlu diselamatkan daripada kerakusan nafsu politik peribadi yang membutakan rasional dan kesetiaan.
“Kita perlukan pemimpin yang membawa kestabilan, bukan mencetuskan kegusaran saban hari demi publisiti,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, Rafizi kini menjadi ancaman kepada parti susulan beberapa kenyataan dan tindakannya yang disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab menjelang Kongres Nasional PKR 2025.
Zack merujuk kenyataan Rafizi sebelum ini yang mendakwa kekalahan Nurul Izzah Anwar dalam pemilihan sebagai isyarat penolakan terhadap Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menyifatkan kenyataan itu sebagai cubaan jijik mencipta persepsi seolah-olah parti hanya berlegar sekitar dua individu utama.
“PKR milik rakyat, bukan milik dua tokoh. Menjadikan keputusan pemilihan sebagai referendum terhadap Presiden adalah bentuk manipulasi emosi yang berbahaya,” tegasnya.
Zack turut mengkritik tindakan Rafizi yang didakwa membocorkan dokumen sulit parti, enggan menghadiri Kongres serta menyalahkan Pejabat Presiden sebagai tidak beretika dan melemahkan disiplin dalaman parti.
“PKR dibina atas asas kepercayaan dan disiplin, bukan muslihat dalaman atau budaya menyalahkan pihak lain apabila berlaku krisis,” katanya.
Tambahnya, keputusan Rafizi untuk tidak menghadiri Kongres hanya kerana tidak berpuas hati terhadap pelancaran jentera pilihan raya Sabah disifatkan sebagai tidak profesional dan mencalar semangat perjuangan akar umbi.
“Kongres bukan platform untuk protes individu. Ia adalah medan penyatuan kekuatan parti, bukan pentas sentimen peribadi,” katanya.
Beliau turut membidas dakwaan Rafizi berhubung isu ketidaksesuaian gaji dijanjikan dengan yang diterima sebagai retorik populis yang tidak wajar dijadikan bahan kempen terbuka.
“Isu gaji dan imbuhan sepatutnya dibincang dalam mesyuarat parti, bukan digunakan untuk menimbulkan persepsi kononnya kerajaan berlaku tidak adil,” ujarnya.
Zack turut menggesa seluruh perwakilan agar menolak politik manipulasi dan kembali membina PKR berasaskan prinsip perjuangan yang asal.
“Kita perlukan pemimpin yang membawa kestabilan dan kepercayaan, bukan mereka yang menyalakan api perpecahan demi publisiti,” katanya.