PUTRAJAYA - Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan banyak berubah sekiranya kembali menjadi Perdana Menteri.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, Najib berkemungkinan besar akan mengulangi pendekatan sama seperti sebelum ini iaitu 'cash is king' dengan memberi wang kepada rakyat sebagai cara meraih sokongan.
“Sekarang, andaikan dia kembali dan menjadi Perdana Menteri semula, saya rasa Najib tidak akan banyak berubah (kerana) beliau berfikir bahawa cara terbaik untuk menjadi Perdana Menteri adalah dengan memberi wang kepada rakyat.
“Kalau tiada wang, dia akan berhutang. Kemudian mencuri wang itu. Itu tidak boleh diterima,” katanya.
Dr Mahathir berkata demikian di Dialog Khas mengenai Cabaran Pembangunan Ekonomi di Abad Ke-21, di sini pada Isnin.
Ujar beliau, jika benar Najib kembali memegang jawatan Perdana Menteri, langkah paling wajar yang sepatutnya dilakukan ialah memohon maaf kepada rakyat.
“Jika dia kembali, saya rasa dia sepatutnya hanya meminta maaf dan mengakui kesilapan," jelas Dr Mahathir.
Najib dijatuhi hukuman penjara selama 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 setelah didapati bersalah atas tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Namun, pada 2 Februari 2024, Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersetuju mengurangkan hukuman tersebut sebanyak 50 peratus.
Dengan itu, tempoh penjara dikurangkan kepada enam tahun dan denda dikurangkan kepada RM50 juta. Sekiranya denda tersebut tidak dibayar, tempoh penjara akan ditambah selama satu tahun lagi.
Najib mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos 2022 dan dijangka dibebaskan pada 23 Ogos 2028 atau 23 Ogos 2029 jika denda tidak dibayar.