PH Johor nafi cubaan jatuhkan kerajaan negeri

ISKANDAR PUTERI – Pakatan Harapan (PH) Johor menegaskan bahawa tiada sebarang usaha daripada pihaknya untuk menjatuhkan kerajaan negeri yang ditadbir oleh Barisan Nasional (BN) ketika ini.

Ketua Pengimbang Johor, Andrew Chen Kah Eng berkata, PH tetap berpegang kepada prinsip menjadi pembangkang konstruktif dan akan terus berperanan sebagai pihak yang melakukan semak serta imbang di negeri itu.

“Sejak awal lagi kami telah nyatakan pendirian dengan jelas. Kami akan terus berperanan sebagai pengimbang yang konstruktif dengan memberi teguran serta cadangan membina demi kepentingan rakyat.

“Kami juga sentiasa dan sedia berbincang dengan Kerajaan Johor mengenai sebarang dasar yang berkait rapat dengan kepentingan bangsa Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Mesyuarat Pertama (pembukaan rasmi) Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Yang Ke-15 di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, pada Isnin.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang berkata, PH Johor sentiasa terbuka untuk mengadakan perbincangan berhubung kerjasama politik pada masa hadapan.

Menurutnya, perbincangan tersebut masih boleh dilakukan kerana penggal DUN Johor hanya akan berakhir pada April 2027.

“Ramai yang tertanya-tanya apakah hala tuju politik Johor? Bilakah PRN Johor akan diadakan? Apakah bentuk kerjasama yang akan ditonjolkan?

“Ini adalah kerana keunikan keadaan politik Johor, di mana di peringkat Persekutuan, hubungan PH dan Barisan Nasional (BN) adalah sebagai Kerajaan Perpaduan, manakala di peringkat negeri, hubungan BN/PN adalah antara kerajaan dan pengimbang.

“Kita tidak boleh mengelak sebarang perbincangan yang sentiasa akan timbul dalam kalangan rakyat mahupun parti politik. Selain itu, belum ada sebarang keputusan yang diputuskan oleh pimpinan tertinggi setiap parti,” ujarnya.

Menurutnya, dalam usaha mengekalkan hubungan baik BN/PH di Johor, pihaknya akan membantu mengekalkan keteguhan hubungan di peringkat Persekutuan dan seterusnya mengukuhkan kestabilan politik kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Tambah beliau, formula kerjasama antara PH dan BN telah menampakkan kesan yang amat ketara semasa pilihan raya kecil (PRK) di Pulai, Simpang Jeram dan Mahkota.

Sebelum ini, Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Johor, Dr Zuhan Zain berkata, PH Johor sedia bertanding secara solo tanpa perlu bekerjasama dengan mana-mana gabungan politik pada PRN akan datang.

Menurutnya, PH boleh bertanding di semua kerusi di Johor kerana melihat kemungkinan itu wujud berdasarkan situasi semasa.