DAP Jasin tolak calon amal politik ekstrem

MELAKA - 15 cawangan DAP Jasin meluluskan usul menyokong calon Kerajaan Perpaduan pada pilihan raya akan datang dengan syarat menolak politik ekstrem pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) di Kemendor, Jasin pada Sabtu lalu.

Setiausaha Publisiti DAP Melaka, Kerk Chee Yee berkata, kesemua mereka menyatakan pendirian tegas itu untuk menolak mana-mana ahli politik atau parti yang mengamalkan politik ekstrem, perkauman dan agama yang boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat.

Menurutnya, usul yang dibuat oleh cawangan terlibat bagi menyatakan sokongan penuh demi memastikan calon-calon dari Kerajaan Perpaduan sama ada untuk kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) memperoleh kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

"Menerusi mesyuarat itu sebanyak 15 cawangan DAP di Daerah Jasin telah sebulat suara meluluskan usul menyokong calon daripada Kerajaan Perpaduan pada PRN Melaka yang akan datang.

"Tapi dengan syarat mereka menolak ahli politik yang mengamalkan politik ekstrem hingga boleh memecahbelah perpaduan rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambahnya, menerusi kenyataan bersama yang dikeluarkan, mereka menegaskan bahawa masa depan Malaysia bergantung kepada kestabilan politik, keharmonian kaum, dan kepimpinan yang progresif.

“DAP Jasin komited untuk menjadi sebahagian daripada usaha membina negara yang lebih bersatu, adil dan makmur.

"Namun kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang membawa politik kebencian dan perpecahan," ujarnya lagi.

Cawangan-cawangan DAP yang menghadiri AGM tersebut terdiri daripada cawangan Kelubi, Air Barok, Taman Maju, Jasin Lalang, Parit Keliling, Pondok Batang, Asahan, Kong Sai, Air Panas, Serkam Pulai, Simpang Kerayong, Jalan Rim, Bukit Katong, Kemendor, dan Ladang Asahan.