'Kehadiran saya di sini sementara' - Rafizi beri bayangan sedia berundur?

KUALA LUMPUR - Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli sekali lagi memberi bayangan seolah-olah bersedia berundur daripada barisan Kabinet dan melepaskan jawatannya.

Timbalan Presiden PKR itu menegaskan, kehadiran beliau hanyalah bersifat 'sementara' dan pada akhirnya akan ada Menteri Ekonomi lain mengisi jawatan tersebut.

Bagaimanapun, Rafizi memberi penekanan bahawa kesinambungan sesuatu dasar tidak seharusnya bergantung kepada pentadbiran semasa atau kehendak peribadi ahli politik tertentu.

"Kehadiran saya di sini mungkin bersifat sementara dan akhirnya akan ada Menteri Ekonomi lain yang menggantikan saya.

"Namun, apa yang saya ingin tegaskan ialah, kesinambungan dasar tidak seharusnya bergantung kepada pentadbiran semasa atau kehendak peribadi ahli politik tertentu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis “The JS-SEZ Partners Dialogue: Advancing Facilitation” yang berlangsung di ibu negara pada Isnin, yang turut dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Rafizi menambah isu berhubung pertukaran menteri telah dibangkitkan berkali-kali, bahkan sebelum Pemilihan PKR 2025 lagi.

Katanya, perkara tersebut termasuk perhatian Kerajaan Negeri Johor terhadap Pelaburan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), jika berlaku perubahan menteri.

"Dasar yang baik seharusnya kekal konsisten, dan berdasarkan pengalaman saya dalam pentadbiran, saya berharap kesinambungan ini diteruskan tanpa mengira siapa yang akan menjadi menteri seterusnya.

"Saya yakin, apa pun yang berlaku, JS-SEZ adalah terlalu besar, terlalu penting, dan terlalu bernilai bagi negara ini untuk diketepikan," jelas beliau lagi.

Dua minggu lalu, media melaporkan Rafizi meluahkan hasrat untuk meletak jawatan dalam satu mesyuarat bersama penyokongnya yang diadakan selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pada 23 April.

Akhbar tempatan berbahasa Cina melaporkan, Rafizi meluahkan hasrat meletak jawatan kerana tidak berpuas hati dengan sistem pemilihan parti yang dianggap tidak adil. - Awani