'Nurul Izzah tak mahu berdebat, terpulang perwakilan buat keputusan' - Rafizi

KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli berpendapat, tindakan pencabarnya, Nurul Izzah Anwar untuk tidak berdebat dengannya merupakan keputusan kempen setiap calon dan terpulang kepada perwakilan untuk menilai pendirian tersebut.

Bagaimanapun, Rafizi yang juga Menteri Ekonomi menegaskan, PKR merupakan sebuah parti yang membudayakan debat dan menjadi tradisi sebelum ini bagi setiap calon Timbalan Presiden untuk menganjurkan debat.

"Itu keputusan kempen masing-masing, cuma budayanya di dalam PKR adalah tradisinya memang calon Timbalan Presiden, malah calon Ketua AMK (Angkatan Muda Keadilan) pun berdebat.

"Ini kerana itu memang kekuatan PKR yang ada sekarang... keputusan calon masing-masing itu terpulang kepada calon masing-masing dan itu akan diambil kira oleh perwakilan-perwakilan dalam pengundian," katanya kepada pemberita selepas hadir pada Majlis “The JS-SEZ Partners Dialogue: Advancing Facilitation” di ibu negara, pada Isnin.

Media sebelum ini melaporkan, Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR kekal dengan pendirian untuk tidak berdebat dengan Rafizi menjelang pemilihan parti, sebaliknya, mahu terus menyantuni perwakilan serta memberi keutamaan untuk mendekati akar umbi pada setiap bahagian.

Nurul Izzah turut menegaskan, 'pertempuran sebenar' bukan terletak pada pemilihan parti, sebaliknya, beliau mahu setiap anggota fokus kepada matlamat utama dalam memastikan kesiapsiagaan parti terutama dalam berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Rafizi menambah, tawaran untuk mengadakan debat adalah sebagai mempertahankan budaya dan setiap anggota parti wajar membentangkan idea serta visi untuk dinilai oleh setiap perwakilan.

Begitu pun, beliau berpandangan, jika Nurul Izzah tidak bersetuju untuk mengadakan debat, perkara itu tidak boleh dipaksa.

"Jadi tawaran daripada saya adalah kita mesti mempertahankan budaya yang mana masing-masing calon atau parti membentangkan idea dan visi, serta kita terbuka untuk dinilai oleh perwakilan. Itu tawaran saya.

"Perkara itu tidak dipersetujui oleh Nurul izzah... jadi akhirnya terpulang kepada perwakilan untuk membuat keputusan," ujar beliau.

Sebelum ini, Rafizi menyuarakan kesediaan untuk berdebat dengan pencabarnya dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan pucuk pimpinan parti itu yang dijadual pada 23 Mei ini.

Kata Rafizi, keputusan itu diambil bagi meredakan suhu yang panas dalam kalangan penyokong kedua-dua tokoh muda parti tersebut ketika ini. - Awani