PUTRAJAYA - Barisan Nasional (BN) terbuka untuk mengadakan perundingan dengan parti-parti politik lain di Sabah selain Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun parti itu belum memuktamadkan untuk membentuk 'Gabungan Mega', namun ia sedang giat meneroka beberapa kemungkinan termasuk kerjasama 'BN-Pakatan Harapan (PH) Plus Plus dan tidak tertakluk kepada satu atau dua gabungan sahaja.
"Kami merasakan bahawa mana-mana parti politik atau gabungan parti politik yang berpengkalan di pusat wajib bekerjasama dengan mana-mana parti politik atau gabungan parti politik di Sabah.
"Ini wajib dilakukan kerana kita mengetahui bahawa kombinasi di antara organisasi politik pusat dan organisasi politik negeri mesti disantuni dan mesti diterjemahkan sebagai satu realiti," katanya kepada media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Apresiasi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Tahun 2024, di sini pada Khamis.
Ditanya sama ada perbincangan dengan wakil GRS akan berlangsung ketika lawatannya ke Sabah hujung minggu ini, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, beliau telah banyak kali mengadakan perbincangan dengan wakil GRS.
"Insya-ALLAH, bukan hanya dengan GRS, tetapi kami juga terbuka untuk berbincang dan berunding dengan mana-mana parti politik lain di Sabah," katanya.
Ahmad Zahid berkata, beliau mempunyai jadual padat terutama program yang telah diatur KKDW, namun tidak melupakan urusan politik lebih-lebih lagi kerana PRN Sabah semakin hampir.
Ditanya jangkaan rundingan politik itu akan dimuktamadkan, Ahmad Zahid berkata, beliau tidak dapat memberi jangka masa tertentu, namun tetap mengutamakan kestabilan politik antara kerajaan negeri dan pusat demi kepentingan rakyat di Sabah.
"Jadi kalau ini difikirkan sebagai sesuatu yang baik oleh pemimpin, mana-mana organisasi politik, ianya harus diterjemahkan pelaksanaannya," katanya.- Bernama