SHAH ALAM - Kerajaan wajar mempertimbangkan kenaikan gaji ahli-ahli Parlimen supaya mereka dapat menjalankan tugasan dengan lebih efisien, kata Naib Presiden Parti Ikatan Demokratik Muda (Muda), Dobby Chew.
Menurut beliau, ahli Parlimen bukan sahaja memerlukan pendapatan yang mencukupi untuk menyara kehidupan peribadi, malah turut menanggung kos pengurusan operasi pejabat, pusat khidmat di kawasan masing-masing, berurusan dengan agensi kerajaan, menggubal dasar, serta memberi sumbangan kepada parti.
“Orang ramai mungkin terkejut apabila mengetahui bahawa gaji bulanan seorang ahli Parlimen mencecah RM16,000, dan ini belum termasuk elaun serta manfaat lain.
“Memang benar, jumlah ini jauh melebihi purata pendapatan rakyat Malaysia, namun angka tersebut meletakkan mereka dalam kelompok pendapatan tertinggi dengan tanggungjawab yang turut besar,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Media sebelum ini melaporkan bahawa Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, mencadangkan kerajaan mempertimbangkan semula kadar gaji ahli Parlimen kerana jumlah gaji dan peruntukan semasa yang diterima didakwa tidak mencukupi.
Dobby menjelaskan bahawa pada tahun 2023 dan 2024, ahli Parlimen kerajaan menerima peruntukan sebanyak RM2.2 juta bagi setiap kawasan Parlimen.
“Perlu difahami bahawa dana ini tidak boleh digunakan sesuka hati. Ia tertakluk kepada garis panduan, tatacara penggunaan dan syarat-syarat tertentu.
“Peruntukan ini mungkin mencukupi untuk menampung kos operasi pejabat, pusat khidmat, dan pengambilan staf berkelayakan bagi membantu menyelesaikan isu setempat serta kerja legislatif. Namun begitu, ia masih tidak mengambil kira tanggungjawab sosial tambahan yang dihadapi Ahli Parlimen,” katanya.
Tambah beliau, ahli Parlimen sering berdepan dengan rakyat yang datang memohon bantuan segera, walaupun tiada peruntukan khas boleh disalurkan.
“Realitinya, walaupun tiada peruntukan, orang ramai masih mengharapkan mereka mendapat bantuan daripada ahli Parlimen.
“Keadaan ini jauh lebih mencabar bagi ahli Parlimen pembangkang. Mereka bukan sahaja tidak menerima sebarang peruntukan rasmi, malah perlu menanggung sendiri kos operasi pejabat dan khidmat masyarakat melalui gaji sendiri atau sumbangan yang dikumpul daripada orang awam dan penyokong,” jelasnya.
Dobby menegaskan, Parlimen merupakan institusi politik yang mewakili suara rakyat dan harus bersifat adil serta boleh diakses oleh semua tanpa mengira kecenderungan politik.
“Parlimen tidak sepatutnya menjadi papan catur untuk Perdana Menteri menggerakkan bidaknya sesuka hati.
“Oleh itu, memang wajar isu gaji ahli Parlimen dikaji semula secara serius menerusi satu pendekatan yang menjamin kebebasan dan integriti mereka, serta tidak menjadikan mereka seperti pengemis,” katanya.
Beliau turut berpandangan bahawa peruntukan bagi semua kawasan Parlimen wajar diagihkan secara saksama di seluruh negara tanpa sebarang diskriminasi politik.