Muthu sedia kembali cabar Shahidan jawatan Presiden Olahraga Malaysia

BEKAS Presiden Olahraga Malaysia (MA), Datuk SM Muthu sedang mempertimbangkan hasrat beberapa ahli gabungan Persatuan Olahraga Selangor (POS) yang mahu beliau kembali merebut jawatan tertinggi badan induk itu.

Bagaimanapun Muthu yang juga Presiden Daerah Petaling dalam POS menegaskan keutamaannya kini adalah menyelesaikan kemelut yang melanda pentadbiran POS.

Muthu mendakwa beliau bersama lima lagi wakil daerah dari Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang, Klang dan Hulu Selangor hilang kepercayaan terhadap kepimpinan tertinggi POS.

“Saya sedia (bertanding). Memang Datuk Seri Shahidan Kassim (Presiden MA ketika ini) sahabat baik tetapi apabila tiba masa bertanding, kita tidak boleh kira kawan atau siapa-siapa.

“Saya tengok dahulu bagaimana sokongan. Buat masa ini, saya belum fikir lagi kerana perlu selesaikan urusan POS terlebih dahulu. Kalau sampai masa dan semuanya okey, saya akan bertanding," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Khamis.

Sementara itu, Presiden Persatuan Olahraga Hulu Selangor Mohd Fauzi Manivanan Abdullah mendakwa beliau bersama lima lagi wakil daerah bersetuju mencalonkan Muthu sebagai Presiden MA, namun cadangan itu ditolak Presiden POS Nurhayati Karim yang juga Pengurus Besar MA.

Mohd Fauzi turut mendakwa penyata kewangan beraudit yang dibentangkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) POS yang diadakan pada 26 April lalu tidak tepat dan surat permohonan untuk satu AGM khas diadakan sebelum 15 Jun juga akan dihantar. - Bernama