Perdebatan bukan solusi terbaik pilih pemimpin – Mohd Fakhrulrazi

SHAH ALAM – Perdebatan bukanlah solusi terbaik dalam pemilihan kepimpinan parti kerana ia berisiko membawa kepada perbalahan berpanjangan sekiranya tidak dikawal atau tidak mengikut syarat yang ditetapkan, kata calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025–2028, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru itu berkata, walaupun perdebatan secara asasnya tidak menjadi kesalahan dalam Islam, ia perlu mematuhi garis panduan yang jelas serta berlandaskan tujuan yang baik.

“Dalam Islam, perdebatan dibenarkan dengan syarat ia bertujuan untuk mencari kebenaran dan bukan untuk menentukan siapa yang lebih hebat, lebih bijak atau untuk memperlekeh serta menunjukkan siapa yang betul.

“Niat untuk memperbetulkan salah faham dan menyelesaikan pertikaian pendapat juga dibenarkan, asalkan ia mengikut syarat dan adab tertentu,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mohd Fakhrulrazi yang juga Setiausaha Biro Antarabangsa PKR menjelaskan, perdebatan tetap berisiko sekiranya tidak dikawal dengan baik.

“Memilih mudarat kecil lebih baik daripada memilih mudarat besar. Saya berpandangan amat tidak sesuai untuk diadakan perdebatan bagi memilih pemimpin ketika ini kerana kesannya boleh menjadi lebih buruk.

“Sebaiknya, calon perlu menggunakan ruang yang ada untuk menyatakan visi, misi serta hala tuju yang ingin dibawa sekiranya terpilih sebagai pemimpin,” ujarnya.

Terdahulu, Rafizi pada Rabu menyatakan kesediaan untuk berdebat secara terbuka bagi meredakan ketegangan dalam kalangan penyokong kedua-dua tokoh muda parti tersebut.

Namun, Nurul Izzah dalam satu sidang media menolak pelawaan berdebat kerana mahu menumpukan perhatian kepada usaha menyantuni perwakilan dan tidak mahu pemilihan kali ini tertumpu kepada soal politik semata-mata.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Prasanth Kumar Brakasam mencadangkan agar kedua-dua tokoh muda parti itu berdebat secara terbuka.