Bersatu Hulu Langat sedia terima bekas ahli PKR

HULU LANGAT – [DIKEMAS KINI] Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Hulu Langat bersedia menerima kemasukan ahli baharu termasuk bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memilih untuk bersama agenda perjuangan parti itu.

Ketua Penerangan Bersatu Bahagian Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim memaklumkan, pihaknya sentiasa terbuka kepada mana-mana individu termasuk bekas ahli UMNO dan PKR yang tidak lagi sehaluan dengan hala tuju parti masing-masing.

“Keahlian kami sebelum ini turut merangkumi individu daripada pelbagai latar belakang politik dan trend ini dijangka akan terus meningkat, terutama susulan konflik dalaman PKR yang dilihat berpotensi membawa kepada perpecahan.

“Sekiranya ada dalam kalangan mereka yang merasakan Bersatu sebagai wadah baharu yang lebih selari dengan prinsip perjuangan mereka, maka kami di peringkat bahagian bersedia menerima sesiapa sahaja,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau, Bersatu Hulu Langat kini berada dalam kesiapsiagaan penuh untuk kembali mengambil kerusi Parlimen Hulu Langat daripada Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

Analisis data sokongan semasa menunjukkan peningkatan sokongan terhadap Bersatu di peringkat lokaliti, sekali gus menguatkan lagi keyakinan bahagian terhadap prestasi parti.

“Setakat ini, kami mempunyai 41 cawangan aktif dan keahlian yang terus mencatat peningkatan setiap bulan. Kami yakin trend ini akan berterusan khususnya selepas pemilihan PKR akan datang,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, hasil analisis sentimen media menunjukkan tiada halangan signifikan terhadap penyertaan bekas ahli PKR ke dalam Bersatu di Selangor.

Mohamad Shafiq berkata, tiada halangan signifikan terhadap penyertaan bekas ahli PKR ke dalam Bersatu di Selangor memandangkan kepimpinan di negeri Selangor diterajui oleh bekas Timbalan Presiden PKR iatu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga merupakan Setiausaha Agung Parti Bersatu.

“Gabungan kekuatan dan pengalaman mereka diyakini mampu memperkukuh Bersatu di Selangor dalam menghadapi cabaran mendatang,” tambahnya.