KOTA KINABALU – Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berpendirian bahawa tiada masalah jika slogan 'Sabah untuk rakyat Sabah' terus digunakan oleh masyarakat negeri ini.
Presidennya, Datuk Ewon Benedick berkata, slogan tersebut penting dalam memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Sabah.
"Saya tidak melihat sebarang masalah dengan slogan 'Sabah for Sabahan', 'Sabah First', 'Sabah Rumah Kita' atau apa-apa tema lain yang digunakan oleh rakyat Sabah.
"Bagi saya, ia adalah satu bentuk semangat patriotik. Selagi ia bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan rakyat Sabah serta kerjasama dan kesatuan besar dalam kalangan rakyat Malaysia, maka gunakanlah tema ini atau mana-mana tema lain yang bersesuaian," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pengambilalihan Klinik Sahabat oleh Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS) daripada Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (KOOP Sahabat), di sini, pada Khamis.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi diminta mengulas isu slogan 'Sabah untuk rakyat Sabah' yang dianggap sebagai sentimen dimainkan di negeri ini.
Menurut beliau, tiada halangan untuk mana-mana parti di Sabah membina acuan tersendiri termasuk menjalin kerjasama dengan parti-parti lain melalui gabungan nasional.
"Sebagai Presiden parti dari Sabah, saya sangat memahami sentimen dan aspirasi rakyat Sabah. Sebab itu saya menegaskan bahawa aspirasi tempatan harus menjadi asas kepada perundingan dalam gabungan besar politik di Sabah.
"Saya juga tidak melihat sebarang isu berkenaan pilihan acuan politik parti-parti Sabah termasuk kerjasama dengan parti peringkat nasional atau luar negara yang menjunjung prinsip demokrasi.
"Saya lebih menekankan keberkesanan kerjasama politik dalam menyelesaikan masalah asas rakyat seperti jalan raya, liputan internet dan sebagainya," katanya.
Tambah beliau, slogan yang gah sekalipun tidak membawa makna jika keperluan asas rakyat masih tidak dapat diselesaikan selepas berpuluh tahun.
"Sebesar mana pun laungan slogan, jika masalah asas rakyat masih tidak selesai, ia kekal sebagai slogan semata-mata.
"Itulah sebabnya saya sendiri ingin membina kekuatan tambahan dengan bekerjasama dengan parti-parti lain termasuk gerakan koperasi untuk menyelesaikan masalah rakyat kerana saya sedar peruntukan Wakil Rakyat juga terhad," jelasnya.
Terdahulu, pada Isnin lalu, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa slogan 'Sabah untuk rakyat Sabah' tidak wajar diketengahkan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Menurutnya, slogan tersebut tidak selari dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan yang menekankan inklusi serta kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
Bagaimanapun, kenyataan itu mencetuskan reaksi pelbagai pihak termasuk parti-parti tempatan yang melihat slogan berkenaan sebagai simbol identiti dan semangat patriotik rakyat Sabah, selain mewakili tuntutan berterusan terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).