'Fokus sentuhan rakyat bukan debat' - Nurul Izzah

SHAH ALAM - Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar enggan melayan polemik berhubung isu debat antara beliau dan penyandang jawatan tersebut, Rafizi Ramli, sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada usaha menyantuni perwakilan parti.

Nurul Izzah menjelaskan bahawa keutamaan beliau kini adalah menjalin hubungan erat dengan pelbagai peringkat dalam parti, khususnya golongan wanita dan anak muda.

“Saya dah jawab tadi (semasa ucapan Program Temu Rapat Akar Umbi), kita nak kurangkan ketegangan kerana pada kami, keutamaan adalah untuk menyantuni perwakilan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Program Temu Rapat Akar Umbi Bersama Timbalan Presiden PKR di Dewan Raja Muda Musa di sini pada Rabu.

Menurut beliau, program yang melibatkan wanita dan anak muda merupakan sebahagian daripada agenda utama beliau dalam memastikan suara akar umbi terus diberi perhatian.

“Macam saya ada program bersama wanita, ‘Wanita Mendunia’, dan juga program dengan anak muda. Tak mahulah kita tertumpu (kepada debat),” jelasnya.

Tambah Nurul Izzah, tumpuan seharusnya diberikan kepada penglibatan menyeluruh bersama bahagian-bahagian dalam parti, bukannya perkara yang boleh menimbulkan perpecahan.

“Ini bukan soal politik semata-mata, tetapi tentang penglibatan dengan semua bahagian kita,” ujar beliau.

Nurul Izzah turut meluahkan kebimbangan terhadap dapatan semasa daripada badan penyelidik seperti Merdeka Center dan Ilham Center menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ujar beliau, dapatan itu menunjukkan keperluan mendesak untuk memperluaskan capaian parti kepada segmen pengundi luar bandar dan anak muda atas pagar.

“Kita mahu memaksimumkan lagi capaian sentuhan kita, bukan sahaja kepada pengundi tegar tetapi juga kepada pemuda atas pagar,” jelas beliau.

Beliau turut memaklumkan bahawa telah menganjurkan sidang meja bulat melibatkan pelbagai pihak termasuk Majlis Keselamatan Negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menangani cabaran semasa seperti isu hutang isi rumah dan ketidakstabilan pekerjaan.

“Saya bersyukur kerana Majlis Keselamatan Negara telah menjemput pihak PDRM sendiri berkongsi antara masalah hutang dan usaha mengekalkan kestabilan ekonomi.

“Fokus saya ialah memastikan anak-anak muda, majoritinya Melayu, dapat pekerjaan yang bermakna supaya mereka menikmati sosiomobiliti,” jelasnya.

Menurut Nurul Izzah, meskipun ramai anak muda bekerja, namun pekerjaan yang ditawarkan tidak setimpal dengan kebolehan dan kelayakan mereka.

“Sebab itu saya tekankan kepentingan undang-undang pekerja gig, dan saya masuk politik bukan untuk retorik, tetapi untuk memastikan dasar itu memberi makna kepada kehidupan rakyat,” tegas beliau.