TEMERLOH - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli menyatakan kesediaan untuk berdebat dengan pencabarnya, Nurul Izzah Anwar bagi meredakan suhu kempen pemilihan parti tersebut.
Menurutnya, penganjuran debat itu wajar diserahkan kepada pihak berkecuali, lazimnya pihak media untuk menetapkan tarikh dan lokasi yang sesuai.
“Kalau ikut daripada pemilihan yang lepas, persaingan saya dengan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, memang sudah menjadi amalan pertandingan calon-calon Timbalan Presiden disertai dengan debat yang dianjurkan oleh pihak berkecuali.
“Seperti saya sebut tadi, PKR adalah parti yang ingin membawa budaya politik baharu yang terbuka dan berasaskan idea. Jadi kita akan memasuki minggu terakhir kempen minggu depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa (HIRUK) Pahang di Dewan Sri Mentakab di sini pada Rabu.
Rafizi turut memaklumkan bahawa cadangan mengadakan debat itu sebenarnya disuarakan oleh anggota parti di peringkat akar umbi.
“Saya sambut cadangan itu. Saya serahkan kepada pihak... selalunya pihak media, dan malam ini saya nyatakan kesediaan saya untuk berdebat,” jelasnya.
Ditanya bila debat itu akan diadakan, Rafizi memaklumkan perkara tersebut bergantung sepenuhnya kepada penganjur, dan beliau mengakui belum dihubungi mana-mana pihak untuk menganjurkan sesi tersebut setakat ini.
“Kalau ikut pengalaman lalu, akan ada pihak tampil untuk menganjurkan debat. Kedua-dua calon akan bersetuju dan urusan masa akan ditentukan oleh penganjur.
“Kalau saya yang ketuk pintu penganjur, nanti orang kata berat sebelah. Jadi saya rasa lebih sesuai pihak media yang jadi penganjur,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Rafizi turut menegaskan bahawa keputusannya untuk melepaskan jawatan Menteri Ekonomi sekiranya tewas dalam pemilihan adalah langkah terbaik bagi menstabilkan parti dan tidak menjejaskan Kerajaan Perpaduan.
“Masa saya mula-mula jadi Menteri Ekonomi, saya dah sebut bahawa kementerian ini bertanggungjawab merangka dasar menyeluruh, bukan sahaja ekonomi, tetapi juga dasar sosial, pendidikan dan sebagainya.
“Dua tahun pertama adalah untuk merancang dan tiga tahun seterusnya untuk pelaksanaan. Sekarang kita berada dalam tempoh pelaksanaan, jadi saya rasa ia tidak akan menjadi masalah,” tambah beliau.