SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan sasaran untuk menawan sekurang-kurangnya 50 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sebagai sebahagian daripada strategi memperkukuh pengaruh parti dan meneruskan agenda reformasi negara.
Pengerusi PKR Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sasaran tersebut merupakan antara tawaran utama pasukan kepimpinan baharu parti yang akan bertanding pada pemilihan PKR kali ini.
Beliau berkata, kepimpinan baharu turut menyatakan komitmen terhadap pembinaan sebuah Malaysia yang adil dan inklusif.
“Insya-ALLAH, kita akan tawan 50 kerusi Parlimen dalam pilihan raya akan datang untuk menjamin kekuatan dan kestabilan PKR serta menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Temu Rapat Akar Umbi Bersama Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar di Dewan Raja Muda Musa, di sini pada Rabu.
Tambah Amirudin, pemilihan parti kali ini bukan sekadar soal perebutan jawatan, tetapi merupakan medan penting untuk menentukan hala tuju PKR dalam menawarkan penyelesaian terhadap isu-isu utama rakyat seperti ekonomi, pendidikan, perpaduan nasional dan perubahan iklim.
“Kita tidak boleh terperangkap dalam persaingan peribadi kerana pemilihan ini adalah landasan untuk memperkukuh parti dan menawarkan agenda yang jelas kepada rakyat.
“Asas perjuangan kita ialah keadilan sebagai dasar reformasi, perpaduan, kesejahteraan dan masa depan negara,” tegas beliau.
Dalam ucapannya, Amirudin turut menolak politik perkauman dan ekstremisme agama yang menurutnya semakin menular dalam kalangan parti pembangkang.
“Kita ingin bina negara yang tidak terpecah dengan isu kaum dan agama yang sempit, sebaliknya Malaysia yang maju, berbudaya dan bersatu padu dari Perlis hingga ke Sabah dan Sarawak.
“Itulah cita-cita besar yang ingin kita bawa dalam tempoh 100 tahun akan datang,” jelas beliau.
Amirudin menjelaskan bahawa PKR kini berada dalam fasa persiapan menuju pemilihan dalaman yang akan menentukan barisan kepimpinan baharu menjelang PRU16.
“Parti ini juga dilihat terus memainkan peranan penting dalam Kerajaan Perpaduan yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri Malaysia ke-10,” katanya.