SHAH ALAM - Jawatan dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukanlah tiket untuk mendapatkan kedudukan dalam pilihan raya, sebaliknya merupakan satu bentuk pengorbanan dan komitmen terhadap perjuangan rakyat.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil berkata, semua calon dan penyokong harus memahami bahawa menyandang jawatan dalam parti menuntut kesediaan untuk bekerja keras dan berkhidmat tanpa mengharapkan balasan.
“Jawatan dalam parti tidak menjanjikan kerusi dan ganjaran, tetapi janji keringat yang pasti dan perlu kita perah untuk berbakti kepada rakyat serta parti,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Temu Rapat Akar Umbi Bersama Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, di Dewan Raja Muda Musa di sini pada Rabu.
Fahmi turut menasihatkan agar ahli-ahli PKR tidak terlalu terikat atau taksub dengan mana-mana kumpulan dalam parti, sebaliknya mengekalkan semangat perpaduan dan fokus kepada agenda reformasi.
Beliau turut mengingatkan bahawa setiap calon dan penyokong perlu menjaga adab dan ketertiban sepanjang proses pemilihan berlangsung.
“Kita jangan sampai menghina atau memperlekehkan kawan-kawan sendiri hanya kerana berbeza pilihan, dan selepas pemilihan, kita masih perlu bersatu demi menghadapi cabaran politik yang lebih besar,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi menyatakan sokongan terbuka kepada Nurul Izzah Anwar sebagai calon Timbalan Presiden pada pemilihan parti berkenaan.
“Nurul Izzah seorang pemimpin berprinsip, cekal dan berjiwa besar yang sentiasa meletakkan kepentingan perjuangan parti di hadapan,” tambahnya.
Menurut Fahmi, beliau telah mengikuti perjalanan politik Nurul Izzah sejak tahun 2008 dan menyaksikan sendiri dedikasi serta ketekunannya dalam mengangkat suara rakyat dan membela agenda reformasi.
“Keteguhan pendirian beliau serta kesanggupan untuk terus berbakti meskipun dalam keadaan mencabar adalah cerminan seorang pemimpin tulen dan berjiwa besar,” tegasnya.